PH, PN harus segera cari titik persamaan demi kepentingan rakyat – Gobi Krishnan

0
1

PUNCA runtuhnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) bukanlah disebabkan ‘Langkah Sheraton’ seperti yang seringkali dilaungkan oleh sebilangan besar pemimpin dan ahlinya iaitu parti PKR, DAP dan Amanah, tegas Ketua Penerangan Pusat Sayap Bersekutu Bersatu, S Gobi Krishnan.

Menurutnya, kumpulan Langkah Sheraton atau kumpulan Tan Sri Muhyiddin Yassin bukanlah pengkhianat seperti yang digembar-gemburkan.

Beliau berkata, pengkhianat sebenar adalah sebilangan besar pemimpin-pemimpin PH yang telah menyimpang jauh dari asas perjuangan sebenar.

Menurutnya, pemimpin PH seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng serta Tun Dr Mahathir Mohamad ketika itu, telah melupakan asas perjuangan PH dan menyimpang jauh dari semangat reformasi PH.

“Namun sejak memenangi kuasa pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), pemimpin-pemimpin PH telah melupakan sebab kenapa mereka diletakkan di puncak kuasa.

“Mungkin mereka lalai dilambung ombak kuasa kerana dapat merasa nikmat menjadi Menteri dan diberi segala macam keistimewaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Gobi Krishnan berkata, sebagai pemimpin akar umbi PKR dan PH pada masa itu, tidak mampu menjawab segala persoalan yang dibangkitkan rakyat bawahan, terutamanya mengenai janji-janji PH semasa berkempen dalam PRU-14.

“Contoh paling jelas adalah kegagalan kerajaan PH pada masa itu untuk memenuhi janji-janji PRU-14 sehingga Dr Mahathir sendiri pernah berkata bahawa ‘manifesto bukan janji’.

“Ini mengecewakan ramai pemimpin dan penyokong PH, terutamanya yang harus menghadapi rakyat dan menjawab segala macam persoalan yang ditimbulkan oleh rakyat,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, isu paling utama ketika ini adalah menghadapi Barisan Nasional (BN) secara satu lawan satu demi memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

“Maka, walaupun kedua-dua pihak (PH-PN) menuding jari kepada satu sama lain sebagai pengkhianat, namun kita harus sedar bahawa ini bukanlah masa sesuai untuk berbuat demikian.

“Ini kerana matlamat dan aspirasi kedua-dua kumpulan adalah sama, iaitu mahu mengembalikan mandat rakyat yang diberi pada PRU-14, walaupun cara mereka mungkin berbeza.

“Maka satu titik persamaan harus dicari segera demi kepentingan rakyat,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here