BAPA mangsa pembunuhan tragis Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain tidak bersetuju hukuman mati mandatori dimansuhkan sepenuhnya.
Zulkarnain Idros, 57, berkata, dia tidak bersetuju dengan langkah kerajaan memansuhkan hukuman mati mandatori di negara ini kerana ia dibimbangi akan menyebabkan peningkatan kes kesalahan serius.
Katanya, hukuman penjara seumur hidup bukanlah hukuman yang sesuai bagi memberi kesedaran kepada orang ramai supaya mengambil iktibar dan tidak melakukan jenayah berat.
“Saya memang tidak setuju dengan pemansuhan hukuman mati mandatori. Langkah itu dibimbangi akan menyebabkan kes pengedaran dadah dan bunuh akan meningkat di negara kita.
“Lihatlah sahaja kes berkaitan Akta Dadah Berbahaya 1952, sebelum ini hukumannya mati mandatori dikuatkuasa pun kes pengedaran dadah masih tinggi. Bayangkan nanti apabila hukumam mati dimansuhkan pula.
“Begitu juga kesalahan jenayah membabitkan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Apakah keadilan atau hukuman wajar lain bagi mereka yang didapati bersalah membunuh. Adakah hanya penjara seumur hidup sahaja.
“Saya tahu hukuman mati itu masih wujud dengan hakim mempunyai pilihan lain mengikut budi bicaranya dalam menjatuhkan hukuman kepada pesalah, namun adakah jika sudah sah bersalah membunuh orang tetapi hukuman selain mati mandatori pula diberikan. Ia tidak adil kepada keluarga yang terpaksa menanggung sengsara,” katanya seperti dilapor Harian Metro.
Dalam pada itu, Zulkarnain menyarankan kerajaan melakukan undian secara terbuka membabitkan rakyat jika sesuatu polisi besar terutama pemansuhan hukuman mati mandatori mahu dilakukan.
“Ia membabitkan kehidupan rakyat negara ini. Saya berpendapat ia wajar ditentukan majoriti rakyat, bukan hanya sekumpulan pihak sahaja yang mungkin ada kepentingan lain,” katanya.
Semalam, anak sulung, jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya turut meluahkan rasa kesal atas tindakan kerajaan memansuhkan hukuman mati mandatori termasuk Jenayah bunuh
Jumaat lalu, kerajaan bersetuju memansuhkan hukuman mati mandatori di negara ini, dengan hukuman gantian tertakluk kepada budi bicara mahkamah. – Malaysiapost

