KETUA Penerangan Umno, Shahril Hamdan mempertahankan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak mendesak mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) segera tetapi meminta agar tidak terlalu lewat atas pertimbangan strategik bagi parti dan negara.
Ia selepas Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa Ahmad Zahid mahu PRU15 diadakan segera kerana mahu diselamatkan daripada hukuman mahkamah.
Shahril berkata, sebagai Presiden Umno dan Pengerusi Barisan Nasional Ahmad Zahid mahu parti itu menang dan negara dapat manfaat daripada keadaan politik yang lebih stabil tanpa persoalan PRU membayangi.
“Bila sahaja PRU berlangsung dan jika BN menang, apa yang cuba DS (Datuk Seri) Sanusi katakan? Bahawa disebabkan BN menang, tiba-tiba hakim akan dipaksa tukar fikiran?
“Kalau itu tuduhannya, sebut sahaja tanpa berselindung kerana itu tuduhan amat berat bukan kepada DS Zahid tetapi terhadap integriti hakim dan institusi kehakiman negara.
“Sekarang pun, Perdana Menteri dari Umno. Berdasarkan keputusan MKT (Majlis Kerja Tertinggi) Umno, kalau BN menang, Perdana Menteri sama. Kes masih berjalan. Jadi apa kena mengena PRU awal dengan soal kes mahkamah?,” katanya dalam hantaran Facebook.
Sementara itu, Shahril berkata suara yang menantikan PRU15 dan mandat baharu ada di kalangan ahli parti dan rakyat, dan mereka tiada kes mahkamah.
Semalam, Muhammad Sanusi dilaporkan berkata negara akan akan hancur sekiranya rakyat memilih ‘satu atau dua pemimpin gila kuasa’, yang hanya mahu menyelamatkan diri mereka untuk mentadbir negara.
Katanya, Ahmad Zahid yang kini berdepan perbicaraan kes rasuah bertegas mahu mengadakan PRU lebih awal kerana takut dipenjarakan.
Beliau berkata, Ahmad Zahid juga mengadakan Perhimpunan Agung Khas Umno untuk menangguhkan pemilihan parti kerana takut hilang jawatan. – Malaysiapost

