TIDAK timbul soal pilihan raya segera ketika ini kerana tempoh untuk mengadakannya telah pun cukup matang.
Umno Kedah dalam kenyataan hari ini berkata, tanpa disedari tempoh matang untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) telah menjangkau empat tahun.
“Untuk makluman semua, jika PRU15 dilakukan pada tahun ini, sebenarnya secara teknikal tidak timbul soal “pilihan raya segera”
“Ini kerana sedar atau tidak, tempoh penggal sudah menjangkau 4 tahun 1 bulan bagi pentadbiran kerajaan selepas Pilihanraya ke-14,” menurut kenyataan itu.
Mengimbas semula sejarah pembubaran Parlimen Malaysia, kebanyakan melalui proses pembubaran setelah menjangkau empat tahun atau lebih awal.
“Tempoh 4 tahun adalah satu tempoh yang sudah cukup matang untuk diadakan pilihanraya semula.
“Bahkan SPR sendiri menetapkan mana mana kerusi yg kosong selepas tempoh 3 tahun penggal pilihanraya tiada pilihanraya kecil diadakan. Ini boleh dilihat sebagai petanda PRU juga semakin hampir.
” Malah, pernah juga Parlimen dibubarkan dan pilihan raya diadakan walaupun belum sampai tempoh 4 tahun, ” katanya.
Kenyataan Umno Kedah ini sebagai maklum balas kenyataan Pengarah Pilihan Raya PAS Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang mendakwa Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendesak PRU15 lebih awal diadakan kerana takut dipenjara.
Terdahulu, Zahid dalam ucapannya di program BN telah menyindir Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang yang takut kehilangan 18 Parlimen jika PRU15 diadakan awal.
Umno Kedah juga menyindir PAS yang sepatutnya setelah empat tahun parti itu lebih daripada bersedia untuk menghadapi PRU15.
“Mungkin kerana belum mendapat tempat di dalam formula “Khemah Besar” yang melibatkan PH yg turut ada bersamanya Dap membuatkan PAS belum bersedia.
“Pendapat yang mengatakan ” kemah besar” bakal didalamnya PAS dan DAP serta AMANAH belum dapat diselesaikan perbincangannya. Sedangkan dalam masa yang sama sekumpulan puak PAS terutama dari Mursyidul Am menolak kerjasama ini,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Umno tetap menjunjung kedaulatan undang-undang dan menyerahkan kepada hakim menentukan keputusan yang melibatkan para pemimpin parti itu.
“Ada pun urusan mahkamah baik berkaitan Presiden dan lain lain pemimpin Umno adalah sepenuhnya diserahkan kepada pihak mahkamah.
“Umno sentiasa menjunjung soal Kedaulatan Undang Undang sebgaimana dimaktub oleh perlembagaan. Bahkan atas kebijaksanaan Umno telah diputus kan Poster Boy PRU Umno/BN Umno/BN sudah menjangkakan awal akan ada hujah cetek dan dangkal sebagai tohmahan kpd Umno/BN,” katanya.
Justeru, Umno Kedah menyeru semua pihak memberi fokus kepada keperluan mendesak rakyat ketika ini seperti krisis makanan dunia.
“Keperluan mendesak sekarang adalah supaya negara dikembalikan ke landasan yang lebih baik. Krisis makanan dan ekonomi dunia yang berlaku sekarang memerlukan solusi politik yang pantas dan tuntas.
“Negara memerlukan sebuah kerajaan yang stabil dan berkesan. Kaedah terbaik adalah dengan mengembalikan semula kuasa membuat pilihan kepada rakyat Malaysia.
“Rakyat Malaysia berhak mengetahui dan memahami proses pembentukan kerajaan, jadi proses ini perlu dilakukan dengan telus dan bertanggungjawab,
“Apabila selesai PRU15, kerajaan yang akan dibentuk ini juga perlu mengembalikan kepercayaan terhadap institusi dan sistem demokrasi Malaysia,” katanya. -Malaysiapost

