Sanusi tidak faham perundangan, politik jahat terhadap Zahid – Tok Pa

0
2

VETERAN Umno Datuk Mustapha Yaakub menyifatkan kenyataan Pengarah Pilihan Raya PAS Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor baru-baru ini bermotifkan politik jahat selain tidak memahami proses perundangan. 

Mustapha yang merupakan Setiausaha Agung Kelab Veteran Umno berkata, kenyataan Sanusi itu sememangnya bermotif politik jahat terhadap Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. 

Jelasnya, Persidangan Agung Umno (PAU) 2021 lalu menetapkan ketetapan untuk mendesak agar Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan lebih awal. 

“Sanusi tidak faham proses perundangan. Kenyataannya bermotif politik jahat untuk menghina Zahid. Dia tahu keputusan untuk mengadakan PRU15 lebih awal adalah keputusan Bahagian Umno dan diterima oleh perwakilan PAU sebulat suara. Ianya bukan kehendak Zahid atau kehendak MKT (Majlis Kerja Tertinggi),” katanya kepada Malaysiapost, hari ini. 

Semalam, Menteri Besar Kedah itu mendakwa Zahid yang berhadapan kes pendakwaan di mahkamah, mendesak mengadakan PRU15 lebih awal kerana takut dipenjarakan. 

Sanusi berkata demikian sebagai maklum balas berikutan ucapan Zahid dalam satu program Barisan Nasional (BN) yang mendakwa Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang bimbang partinya kehilangan 18 kerusi Parlimen sekiranya PRU15 diadakan lebih awal daripada sepatutnya. 

Mengulas mengenainya, Mustapha berkata, Zahid telah beberapa kali menegaskan bahawa beliau menyerahkan proses perundangan untuk membersihkan namanya sekali gus tidak akan mengikuti jejak langkah Pengerusi DAP Lim Guan Eng yang digugurkan kes mahkamahnya ketika Pakatan Harapan (PH) berkuasa menjadi kerajaan. 

Tegasnya, Pengerusi BN itu akan menghadapi kesnya secara anak jantan tanpa mengharap ehsan parti dan kerajaan.

“Zahid telah sedari awal memutuskan kesnya diserah kepada pengadilan mahkamah dan dia telah membuat keputusan untuk membela dirinya melalui proses perundangan. 

“Zahid percaya hanya melalui proses perundangan sahaja kesnya dapat diselesaikan dengan adil. 

“Bukan melalui campur tangan parti dan kerajaan yang memerintah. Kalau pun BN menang dan memerintah selepas PRU15 bukan bermakna kerajaan ketika itu akan menggugur dan membatalkan pendakwaan ke atasnya sebagaimana yang pernah dilakukan oleh kerajaan PH dalam kes Lim Guan Eng,” jelasnya. 

Pada masa sama, Mustapha berkata, terdapat unsur-unsur yang boleh menunjukkan kenyataan Sanusi itu telah menghina sistem kehakiman negara. 

“Kenyataan Sanusi itu juga jelas menunjukkan dia menghina sistem kehakiman negara ini. Dia seperti menuduh bahawa para hakim negara ini boleh dibeli. 

“Dia mendahului hakim didalam menentukan keputusan kes Zahid apabila menuduh Zahid takut masuk penjara apabila Zahid mahukan PRU15 dipercepatkan. Apakah dia pasti Zahid akan didapati bersalah dan akan masuk penjara?.

“Sebagai orang luar yang tidak ada kena mengena dengan kes Zahid, kenyataan Sanusi itu seolah-oleh cuba memperlekehkan kewibawaan hakim yang membicarakan kes Zahid atau dia mempunyai niat untuk mempengaruhi hakim supaya menjatuhkan hukuman bersalah ke atas Zahid,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here