Harimau Malaya dirundung malang yang tidak sepatutnya

0
1

Najamuddin Mohd Nor

HUJAN lebat sebelum perlawanan bermula seakan memberi petanda buruk kepada Harimau Malaya dalam aksi kedua Kumpulan E Kelayakan Piala Asia 2023. 

Beraksi menarik dalam padang yang becak, anak buah Kim Pan Gon cepat menemui rentak di awal permanan apabila melancarkan serangan bertali arus ke kubu Bahrain. 

Stadium Nasional Bukit Jalil bergemuruh pada minit keempat apabila Nazmi Faiz Mansor  melakukan ‘half volley’, namun tersasar daripada gawang gol Bahrain. 

Kemudian, Junior Edstal mensia-siakan peluang cantik pada minit ke-14, sepakannya tinggi melewati gawang pasukan yang berada di ranking ke-89 dunia itu. 

Peluang Malaysia mendapat gol pendahuluan menjelma menerusi Akhyar Rashid yang merembat kencang, bagaimanapun penjaga gol Bahrain tangkas menepis sekali gus menyelamatkan bola membolosi gawangnya. 

Malaysia terus mengawal rentak permainan di separuh masa pertama sambil Bahrain sesekali mengatur gerak mengancam pintu gol Malaysia yang dikawal Farizal Marlias. 

Bersambung babak kedua, Kim Pan Gon mengekalkan barisan serangan Malaysia yang diketuai Darren Loke dan Mohamadou Sumareh. 

Lebih 62,000 penyokong Malaysia bersorak gembira pada minit ke-55 apabila gol yang ditunggu-tunggu akhirnya muncul menerusi Sumareh. 

Gerakan yang dimulakan oleh Khuzaimi Piee apabila memintas gerakan lawan kemudian menghantar bola kepada Akhyar yang melarikannya ke kawasan Bahrain.

Akhyar melorongkan bola kepada Khuzaimi yang membuat larian ke sebelah kanan kawasan penalti Bahrain sebelum melorongkan hantaran silang cantik yang disudahkan oleh Sumareh. 

Bagaimanapun kegembiraan Harimau Malaya itu hanya bertahan tiga minit sahaja apabila kelalaian barisan pertahanan memberikan gol mudah kepada Bahrain untuk kedudukan kembali terikat menjadi 1-1.

Tersentak dengan jaringan penyamaan itu, Pan Gon membuat tiga pertukaran serentak memasukkan Safiq Rahim, Ariff Aiman dan Guilherme De Paula menggantikan Nazmi Faiz, Darren Loke dan Sumareh. 

Namun ketika perlawanan memasuki minit ke-81, Bahrain dihadiahkan sepakan penalti susulan kekasaran Farizal terhadap penyerang Bahrain. 

Peluang itu tidak dilepaskan Bahrain sekali gus menyebabkan Harimau Malaya terus tertekan mencari gol penyamaan namun masih buntu sehingga wisel penamat ditiupkan. 

Meskipun kecewa, Harimau Malaya perlu belajar daripada kesilapan dan mengelak melakukan kesilapan mudah yang membawa padah pada aksi menentang Bangladesh nanti. 

Apapun, Harimau Malaya masih berpeluang melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Asia 2023 dengan syarat menewaskan Bangladesh pada aksi terakhir sekali gus menjadi lima pasukan terbaik di kalangan naib juara kumpulan. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here