POLIS menahan seorang lelaki kelmarin, sekali gus berjaya menyelesaikan satu kes rogol yang berlaku 19 tahun lalu di Bagan Serai, Perak.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan, berkata suspek berusia 40 tahun itu ditahan menerusi maklumat yang diperoleh daripada data profil asid deoksiribonukleik (DNA).
“JSJ Bukit Aman berjaya menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes rogol yang berlaku pada 2003 di Bagai Serai, Perak, kira-kira jam 9.30 malam di daerah sama, kelmarin.
“Suspek ditahan reman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian selama empat hari bermula 10 Jun (semalam) hingga Isnin ini bagi membantu siasatan kes yang disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Abd Jalil berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan dan kertas siasatan akan segera dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan mendapatkan arahan bagi tujuan pertuduhan.
“PDRM akan terus berusaha dengan pelbagai pendekatan dalam mengesan dan menahan penjenayah meskipun menghadapi kekurangan maklumat pada awal siasatan.
“Ini termasuk menggunakan kaedah saintifik melalui data profil DNA bagi mengenal pasti identiti suspek untuk dibawa ke muka pengadilan,” katanya.
Selain itu, beliau turut meminta masyarakat agar menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kejadian yang menyalahi undang-undang dalam usaha membanteras kegiatan jenayah untuk memberi keadilan kepada mangsa. -Malaysiapost

