PENGERUSI Lajnah Dakwah PAS, Nasrudin Hassan, menyifatkan senjata politik ‘Asal Bukan BN’ yang cuba dihidupkan pihak tertentu untuk menguburkan gabungan itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), adalah tersasar daripada kaedah perjuangan Islam.
Nasrudin berkata, slogan ‘Asal Bukan BN’ itu sekali lagi akan menjadi ‘duri dalam daging’ kepada perjuangan Islam seperti mana ‘Asal Bukan Umno’ (ABU) yang dilancarkan pada era gabungan politik Pakatan Rakyat.
Jelasnya, beliau percaya atas semangat ‘Asal Bukan BN’ itu, gabungan baharu parti-parti politik dijangka akan dibentuk, termasuk menerima komponen parti Pakatan Harapan (PH) demi mengalahkan BN.
“Slogan ‘Asal Bukan BN’ sekali lagi akan menjadi ‘duri dalam daging’ kepada perjuangan Islam.
“Hanya kerana mahu menewaskan BN dalam PRU akan datang, maka tidak mengapalah kembali merangkul DAP dan pejuang-pejuang sosialis dan liberalis,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Nasrudin berkata, slogan itu sekali lagi merosakkan semangat perjuangan Islam yang dibawa PAS, bahkan sangat tidak sesuai dengan pendekatan semasa politik parti itu yang masih bersama Muafakat Nasional (MN).
Jelasnya, apa yang layak dan wajar dengan semangat Penyatuan Ummah yang diperjuangkan oleh PAS ialah ‘Asalkan Islam’.
“Justeru, PAS adalah sebuah gerakan yang bertanggungjawab untuk menjaga dan memelihara Islam. Islam mesti diperjuang dan diusahakan sehabis daya agar menang.
“Pelbagai pendekatan dan strategi boleh direncana oleh para strategis selama mana ia tidak bercanggah dengan syariat dan tidak merosakkan semangat perjuangan Islam.
“Terdahulu, Tan Sri Abdul Hadi Awang selaku Presiden PAS (juga) telah menegaskan bahawa parti itu tidak akan bekerjasama dengan DAP,” katanya.
Mengulas lanjut, Nasrudin berkata, beliau sebelum ini juga pernah terpesona dengan slogan ‘Asal Bukan Umno’ kerana waktu itu semua jenis ‘senjata’ dan semua kompenan gabungan Pakatan Rakyat menghala serangan kepada parti itu.
“Mudahnya, ‘Asal Bukan Umno’ tidak sekadar membina pemikiran dan sikap menolak Umno dalam pilihan raya tetapi juga telah meresapkan satu pemikiran bahawa sosialis pun tak mengapa ‘Asal Bukan Umno’. Liberal pun tidak salah ‘Asal Bukan Umno’.
“Alhamdulillah, dipertengahan jalan saya segera menyedari bahawa kaedah perjuangan Islam yang didukung oleh PAS sangat tidak sesuai dengan slogan ‘Asal Bukan Umno’. Lalu saya bangkit membantahnya,” katanya.
Jelasnya lagi, akhirnya, daripada membina sikap menolak Umno ketika itu telah merebak kepada sikap yang lebih teruk dan merosakkan iaitu menerima sosialis, liberalis serta lainnya.
“Tentu sahaja ia memburukkan lagi keadaan. Kerana sekurang-kurang Umno itu masih muslim,” katanya. – Malaysiapost

