PM ucap tahniah Soh Wai Ching kembali jadi No.1 dunia

0
1

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menzahirkan ucapan tahniah kepada jaguh lari menara kebangsaan, Soh Wai Ching diangkat sebagai nombor satu di dunia selepas mengungguli kejohanan di Amerika Syarikat (AS).

Beliau berkata, Wai Ching memenangi kategori keseluruhan saingan Tunnel to Towers Climb NYC di New York, AS pada Sabtu lalu.

“Tahniah Soh Wai Ching kembali ke status No. 1 dunia!

“Keluarga Malaysia amat bangga dengan pencapaian Soh Wai Ching dan berharap akan terus mengekalkan momentum kejayaan ini.

“Keluarga Malaysia… jadikan kejayaan yang telah diukir oleh ahli keluarga kita sebagai inspirasi untuk sama-sama membina kejayaan dan mengharumkan nama Malaysia di persada dunia,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Terdahulu, Wai Ching dilaporkan kembali mengesahkan statusnya sebagai nombor satu dunia.

Kejayaan itu hadir selepas Wai Ching mengungguli kategori keseluruhan saingan Tunnel to Towers dengan mendaki 2,226 anak tangga dan 104 tingkat bangunan One World Trade Center.

Menariknya, atlet berusia 27 tahun itu hanya mengambil masa selama 12 minit 46 saat untuk menewaskan pencabarnya di tangga kedua dari AS, Shari Klarfeld (15:53s) yang muncul juara keseluruhan bagi kategori wanita. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here