PENAMBAHBAIKAN akan dibuat sekiranya kerajaan berhasrat memperkenalkan semula cukai Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), kata Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Menurutnya, penambahbaikan itu adalah dari aspek kecekapan proses bayaran balik, mengelakkan kekeliruan dalam pengkelasan barang yang bercukai dengan tidak bercukai, peningkatan tahap kemahiran pegawai kerajaan, tahap pematuhan peniaga dan tadbir urus keseluruhan GST.
“Sebarang sistem percukaian baharu juga perlu diluluskan di Parlimen dan jika ambilkira keperluan libat urus bersama rakyat serta untuk menambahbaik sistem sedia ada, tidak mungkin GST akan dilaksanakan pada tahun ini,” katanya dalam Laporan Kewangan Rakyat (LKR) ke-98 yang dikeluarkan hari ini.
Beliau berkata, setakat ini 175 negara atau sekitar 90 peratus negara di seluruh dunia telah memperkenalkan cukai kepenggunaan (Value-Added Tax atau VAT) yang lebih efisien, telus dan mampu mencegah ketirisan kutipan hasil, kerana ianya merupakan satu sistem yang lebih efisien dan telus.
“Pada tahun 2021, jumlah kutipan hasil negara mencatat 15.1 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), dan ini adalah agak rendah berbanding kutipan hasil negara lain (contoh: Singapura 18.9 peratus, Thailand 17.7 peratus, Filipina 15.5 peratus).
“Bagi hasil cukai negara, ia telah mencatat 11.2 peratus daripada KDNK. Oleh itu, Kerajaan perlu meneliti usaha untuk meluaskan asas hasil supaya hasil dapat diagihkan dengan lebih bermakna melalui program pembangunan yang bermanfaat untuk seluruh Keluarga Malaysia,” katanya.
Menurutnya, walaupun buat masa ini Malaysia mendapat manfaat dari peningkatan harga komoditi global, hasil berkaitan komoditi tidak mampan kerana bergantung kepada pergerakan harga pasaran global.
“Ianya tidak mampu menampung sepenuhnya peningkatan perbelanjaan yang diperlukan untuk kesejahteraan rakyat. Oleh yang demikian, kerajaan perlu meneroka sumber hasil yang stabil dan lebih meluas seperti cukai kepenggunaan.
“Namun begitu, sebelum kerajaan memperkenalkan apa-apa cukai baharu, kita perlu memastikan pemulihan ekonomi pasca krisis Covid-19 sudah mencapai landasan yang stabil dan kukuh.
“Ini juga selaras dengan apa yang telah dimaklumkan oleh Perdana Menteri bahawa cadangan pengembalian GST masih di peringkat kajian,” katanya. – Malaysiapost

