
SAKSI pendakwaan ke-16 bagi perbicaraan membabitkan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berhubung pertuduhan rasuah berkaitan Sistem Visa Luar Negara (VLN) memohon penangguhan hari ini kerana mengalami sakit migrain.
Bekas Pengarah Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB), Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani sempat membaca keterangan saksi sebelum memohon kepada hakim supaya ditangguhkan.
Perkara itu disahkan peguam kepada Ahmad Zahid, Hamidi Mohd Noh kepada Malaysiapost petang tadi.
“Dia (Wan Quoris Shah) nyatakan ada pening kepala, migrain. Dia minta mahkamah tangguh ke minggu depan untuk sambung keterangannya kerana migrain,” katanya kepada Malaysiapost.
Sementara itu, Hamidi berkata bekas Pengarah UKSB, Harry Lee Vui Khun merupakan saksi ke-15 yang juga selesai memberi keterangan hari ini, sekali lagi memberi kenyataan bahawa wang diberi oleh syarikat itu kepada Ahmad Zahid adalah dana politik.
Ia susulan Vui Khun semalam memaklumkan UKSB menghantar wang tunai Dolar Singapura setiap bulan kepada bekas Timbalan Perdana Menteri itu dari 2014 hingga 2018 berhubung kontrak VLN.
Terdahulu, Vui Khun dilaporkan berkata, bayaran kepada Ahmad Zahid bermula akhir 2014 dengan bayaran sebanyak SG$200,000 sebulan kemudian meningkat kepada SG$520,000 sebulan pada 2017.
Ahmad Zahid, 69, berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB, untuk dirinya selaku Menteri Dalam Negeri ketika itu bagi melanjutkan kontrak syarikat berkenaan sebagai pengendali OSC di China dan Sistem VLN, serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh kementerian terbabit.
Bagi tujuh lagi pertuduhan, Ahmad Zahid didakwa sebagai menteri sama ketika itu, mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000, RM3 juta, EURO15,000 dan AS$15,000 tanpa balasan daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan kerja rasmi beliau.
Beliau didakwa melakukan semua kesalahan itu di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya, dan Country Heights, Kajang, antara Oktober 2014 dan Mac 2018.
Perbicaraan kes bersambung 13 Jun ini. – Malaysiapost
