JUMLAH kekayaan hartawan yang disenaraikan sebagai 50 individu paling kaya Malaysia 2022 oleh Forbes jatuh 10 peratus kepada AS$80.5 bilion (RM355 bilion) berbanding setahun lalu.
Secara keseluruhan, 30 bilionair dalam senarai terbaharu itu menyaksikan nilai kekayaan mereka merosot, demikian menurut Forbes Asia dalam satu kenyataan semalam, lapor Berita Harian.
Forbes Asia berkata, ekonomi Malaysia berkembang lima peratus pada suku pertama 2022, sebahagiannya dirangsang oleh pemulihan dalam permintaan domestik, sekali gus dapat mengimbangi kesan pandemik selain banjir kilat pada Disember lalu.
“Walaupun pasaran saham susut sedikit dalam tempoh 12 bulan lalu, turun naik mata wang menyaksikan ringgit jatuh enam peratus,” katanya.
Pengasas Kuok Group, Tan Sri Robert Kuok masih mengekalkan kedudukannya sebagai individu paling kaya di negara ini, namun nilai kekayaannya merosot kepada AS$11 bilion (RM48 bilion) daripada AS$12.2 bilion (RM53.6 bilion) tahun lalu.
Pengerusi Hong Leong, Tan Sri Quek Leng Chan, adalah hartawan yang mencatatkan pertambahan nilai kekayaan terbesar dan mengukuhkan kedudukannya sebagai individu kedua paling kaya di Malaysia dengan AS$10.1 bilion (RM44.4 bilion), tambahan AS$500 juta (RM2.2 bilion) daripada AS$9.6 bilion (RM42.2 bilion) tahun lalu.
Tan Sri Koon Poh Keong dan adik beradiknya, yang mengawal syarikat aluminium Press Metal Bhd kekal di tempat ketiga dengan AS$6.2 bilion (RM27.2 bilion), hampir tidak berubah daripada setahun lalu.
Melengkapkan senarai lima individu paling kaya adalah Pengasas dan Pengerusi Public Bank, Tan Sri Teh Hong Piow dengan nilai kekayaan AS$5.7 bilion (RM25 bilion) dan Ananda Krishnan, yang mempunyai kepentingan dalam syarikat telekomunikasi, Maxis Bhd serta penyedia perkhidmatan lapangan minyak, Bumi Armada Bhd dengan AS$5 bilion (RM22 bilion).
Larangan sementara Indonesia ke atas eksport minyak boleh dimakan di tengah-tengah penurunan pengeluaran minyak sawit Malaysia memberikan ‘durian runtuh’ kepada hartawan dalam sektor berkenaan.
Nilai kekayaan adik beradik, Tan Sri Lee Oi Hian dan Datuk Lee Hau Hian meningkat lebih daripada satu pertiga apabila saham syarikat mereka, Batu Kawan Bhd dan anak syarikat perladangannya melonjak selepas keuntungan meningkat.
Tan Sri Ling Chiong Ho, salah seorang daripada dua individu yang kembali dalam senarai pada tahun ini, membuat kemunculan semula selepas empat tahun apabila saham Sarawak Oil Palm Bhd, syarikat utama Shin Yang Group, meningkat.
Penyenaraian pengeluar tenusu, Farm Fresh Bhd membolehkan Loi Tuan Eeyang berkongsi nilai kekayaan AS$380 juta (RM1.67 bilion) bersama dua adik beradiknya, menembusi senarai individu paling kaya di Malaysia buat kali pertama.
Syarikat itu, yang diasaskan oleh Tuan Ee dan Tuan Kin bermula pada 2007, sebelum mendapat sokongan daripada dana pelaburan kekayaan kerajaan, Khazanah Nasional Bhd, mempunyai lima ladang tenusu di Malaysia dan satu di Australia.
Nilai minimum kekayaan untuk membolehkan individu menembusi senarai berkenaan adalah AS$255 juta (RM1.12 bilion), susut daripada AS$315 juta (RM1.38 bilion) pada 2021.
10 individu paling kaya di Malaysia:
- Tan Sri Robert Kuok (RM48 bilion)
- Tan Sri Quek Leng Chan (RM44.4 bilion)
- Tan Sri Koon Poh Keong dan adik beradik (RM27.2 bilion)
- Tan Sri Teh Hong Piow (RM25 bilion)
- Ananda Krishnan (RM22 bilion)
- Datuk Lee Yeow Chor & Lee Yeow Seng (RM21 bilion)
- Tan Sri Chen Lip Keong (RM11.8 bilion)
- Tan Yu Yeh & Tan Yu Wei (RM10.5 bilion)
- Tan Sri Lim Kok Thay (RM10.3 bilion)
- Tan Sri Lau Cho Kun (RM8.8 bilion)

