Projek 5G : Adakah model DNB menguntungkan rakyat? – Asyraf Wajdi

0
1

PERGERAKAN Pemuda Umno Malaysia mendesak agar penjelasan tuntas dilakukan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) mengenai beberapa keraguan berkenaan penganugerahan Digital Nasional Berhad (DNB) sebagai pelaksana projek 5G kebangsaan.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata penjelasan khususnya berkaitan kredibiliti dan kepakaran DNB serta pelantikan Ralph Marshall sebagai Ketua Pegawai Eksekutif DNB, seorang individu yang dikaitkan rasuah di India perlu diberikan.

Menurutnya, keraguan itu telah dibangkitkan Pemuda Umno pada 10 dan 14 Disember 2021, namun sehingga ke hari ini, tiada sebarang penjelasan tuntas dan memuaskan sama ada dari pihak Kerajaan atau DNB mengenainya.

“Pemuda Umno bertegas supaya persoalan-persoalan ini harus segera dijawab kerana merupakan agenda nasional melibatkan wang rakyat yang sangat besar. Persoalannya apakah benar kos dikhabarkan sudah mencecah RM30 billion?

“Kajian susulan Pemuda Umno juga mendapati DNB menggunakan model perniagaan Rangkaian Pukal Tunggal (Single Wholesale Network – SWN) iaitu satu bentuk monopoli eksklusif spektrum rangkaian 5G,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, melalui model SWN, DNB diberikan hak eksklusif untuk membina infrastruktur rangkaian, manakala operator rangkaian mudah alih (Mobile Network Operator – MNO) seperti Maxis, Digi, Celcom, U-Mobile, Telekom dan lain-lain akan memajak spektrum dengan anggaran hasil sewaan terkumpul mencecah berbillion ringgit.

“Model perniagaan DNB melalui SWN yang mengagihkan spektrum rangkaian mudah alih ini berbeza dengan model perniagaan sebelum ini yang diselia terus melalui SKMM selaku Badan Pengawalselia.

“Sebelum ini satu bentuk platform ditawarkan untuk setiap MNO bersaing secara kompetitif dengan kos yang optimum dan menjana hasil berbilion ringgit kepada rakyat melalui cukai korporat,” katanya.

Menurutnya, dengan kontrak bersifat monopoli yang telah dianugerahkan oleh kerajaan, DNB mengambil peluang untuk mengumpulkan dana pembiayaan sekurang-kurangnya RM15-20 billion melalui penerbitan sukuk bagi pembangunan infrastruktur rangkaian seperti menara komunikasi dan perkakasan.

“Sebaliknya melalui model SWN, hasil pungutan bayaran pajakan tidak terus ke kantung kerajaan tetapi ke DNB yang sebahagian besar sahamnya dimiliki oleh pihak swasta yang bakal memperoleh keuntungan besar.

“Justeru Pemuda Umno mendesak agar penjelasan tuntas dilakukan oleh pihak K-KOM agar rakyat diberikan jaminan bahawa model baharu SWN yang dimonopoli DNB ini tidak berlaku sebarang bentuk ketirisan yang bakal membebankan rakyat yang ketika ini amat memerlukan rangkaian capaian 5G yang efektif dan efisien,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here