SEORANG pemandu lori maut selepas kenderaan yang dipandunya dihempap papan tanda yang patah dalam kemalangan di Lebuhraya Persekutuan susur keluar ke Icon City, Petaling Jaya, hari ini.
Dalam kejadian 11.33 pagi itu, lelaki warga asing berusia 59 tahun tersebut disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, siasatan awal mendapati kemalangan itu berlaku selepas lori berkenaan dipercayai melanggar papan tanda yang mempunyai had ketinggian tidak melebihi 2.1 meter.
“Akibat pelanggaran itu, papan tanda berkenaan patah lalu menghempap bahagian hadapan lori terbabit dan mengakibatkan pemandu lori berkenaan disahkan maut di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohamad Fakhrudin berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam pada itu, beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu menghubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor R Navalan di talian 014-2536820 bagi membantu siasatan. – Malaysiapost
Kredit Foto: Kosmo

