“TAHNIAH Norhafiza! Nilai kejujuran anda lebih bernilai daripada harta yang dipulangkan itu,” tegas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhamad Sanusi Md Nor.
Beliau memuji tindakan Norhafiza Ahmad, 27, yang juga pekerja promosi bagi perkhidmatan kereta kabel SkyCab di Oriental Village, Langkawi yang memulangkan wang lebih RM34,000 milik seorang pelancong.
Dalam kejadian 31 Mei lalu, pekerja terbabit secara tidak sengaja menemui beg mengandungi pelbagai mata wang milik pelancong dari Sudan di kerusi menunggu berhampiran kaunter tiket di pusat pelancongan terkenal itu.
Muhamad Sanusi berkata, beliau merasa bangga bila ada kakitangan yang berhati mulia dan jujur sedemikian, kerana berpendapat bukan mudah memulangkan sesuatu yang bernilai kepada pemiliknya.
Beliau turut memberi contoh kisah sejarah pada zaman seorang khalifah terdahulu yang pernah dibacanya mengenai seorang tentera terjumpa harta karun yang amat tinggi nilainya.
“Tentera tersebut menyerahkan harta karun itu kepada ketuanya, tanpa mengambil walaupun satu sen daripada harta itu.
Ketuanya dengan bangga menyerahkan harta karun itu kepada Khalifah. Harta sebanyak itu boleh menyelesaikan banyak masalah negara.
“Khalifah bertanya kepada ketua tentera, siapa nama tentera yang menjumpai harta tersebut. Ketua tentera menjawab, “Wahai Khalifah. Siapa yang jumpa tak penting. Yang penting ialah nilai harta yang ditemui”.
“Khalifah dengan tegas menjawab, “Nilai kejujuran dalam diri tentera itu adalah lebih bernilai daripada harta karun yang ditemui ini. Panggil tentera itu segera ke sini (istana),” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Mewakili Kerajaan Negeri Kedah, beliau menzahirkan rasa bangga dengan tindakan Norhafiza dan percaya, ramai lagi kakitangan lain yang jujur sepertinya.
“Ucapan penghargaan khusus dari saya dan sedikit saguhati disampaikan melalui Setiausaha Politik saya. Orang Kedah semuanya memang baik-baik belaka,” katanya. – Malaysiapost

