PENCERAMAH bebas, Datuk Kazim Elias seakan redha sekiranya ditakdirkan terpaksa menanggung derita akibat penyakit misteri dipercayai disihir sehingga ‘akhirnya’.
Kazim atau lebih dikenali sebagai Ustaz Kazim membuat luahan berkenaan di Facebooknya, selain mengakui derita yang ditanggung akibat penyakit misteri itu ketika ini amat ‘berat’.
“Lama dah tak bermimpi, lama juga tidak menikmati lena, kesakitan kepedihan miang, tidak pernah berpisah.
“Mungkin ini akan dirasai sampai akhirnya,” tulisnya dalam hantaran terbaharu itu.
Jelas Ustaz Kazim lagi, beliau ketika ini hanya mampu bersabar dan berdoa agar diberi kesembuhan selain berharap orang lain tidak menanggung derita sama seperti dialaminya.
“Yang tidak merasai akan mempertikai. Ku cuma berdoa agar mereka tidak mendapatnya.
“Hanya sabar dan redha mengubat jiwa, Pagi nanti ada kerja dakwah untukku, dakwah itu menyegarkan.Walau mulut pembenci mengiringinya,” tulisnya lagi.
Dalam hantaran sama, Ustaz Kazim turut memuatnaik sekeping foto beliau sedang tidur dalam posisi duduk dengan keadaan muka ditelangkup pada meja.
Dalam pada masa sama, Ustaz Kazim berkata, beliau turut berharap dengan ujian ‘kecil’ berkenaan dosa-dosanya diampunkan Allah SWT.
“Biarkan kerana mereka tidak mengetahui. Tidak merasa. Semoga dosaku terhapus dgn ujian kecil ini,” tulisnya.
Sebelum ini, Ustaz Kazim memaklumkan, seorang individu pernah datang dan memohon maaf kepadanya ketika beliau menghidap penyakit misteri dipercayai disihir.
Ustaz Kazim berkata, individu itu mengaku menjadi orang suruhan kepada pihak yang menyihirnya sehingga beliau menghidap masalah kesihatan dan malu berhadapan dengan orang ramai.
Bagaimanapun, katanya, beliau tidak bertanya kepada individu yang memohon maaf tersebut mengenai siapa melakukan perbuatan syirik itu terhadapnya. – Malaysiapost

