Lelaki mabuk memandu lawan arus gagal loloskan diri

0
1

POLIS menahan seorang lelaki yang dipercayai memandu kereta secara melawan arus dalam keadaan mabuk di Lebuhraya Persekutuan, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu jam 8.36 pagi.

“Kejadian berlaku pada jam 5.50 pagi semasa anggota kereta peronda (MPV) Balai Polis Petaling Jaya sedang menjalankan rondaan cegah jenayah di lebuh raya berkenaan.

“Telah terkesan sebuah kereta dipandu secara melawan arus dan merbahaya. Pihak polis mengarahkan pemandu kereta berkenaan berhenti, namun enggan memberi kerjasama dan melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, pemandu berkenaan bertindak memecut kereta ke susur masuk Lebuhraya Pantai Baharu (NPE) yang kemudian berjaya ditahan di Jalan Klang Lama.

“Lelaki tempatan berusia 22 tahun itu kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya untuk siasatan lanjut. Hasil ujian pernafasan dilakukan mendapati dia paras alkohol diambilnya melebihi had ditetapkan.

“Dalam kes ini, tiada sebarang kecederaan dan kemalangan dilaporkan. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 45(A)1 akta yang sama,” katanya.

Beliau memohon kerjasama orang ramai yang melihat atau mempunyai rakaman papan pemuka (dashcam) yang merakam kejadian itu supaya tampil ke IPD Petaling Jaya bagi membantu siasatan.

“Orang ramai juga boleh menghubungi pegawai penyiasat trafik, Sarjan Mohd Sahidun Saiban di talian 011-33340775 untuk tindakan lanjut.

“Pihak polis mengingatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas bagi mengelak berlakunya kemalangan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here