PAS berpegang dengan pendirian Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) wajar diadakan pada pertengahan tahun depan selepas penggal Parlimen ke-14 berakhir.
Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad berkata, pendirian parti itu tidak akan berubah sehinggalah pucuk pimpinan parti membuat keputusan yang baharu.
“Pilihan raya ini kalau di peringkat negeri, ia kuasa Menteri Besar untuk pergi mengadap Sultan bagi memohon perkenan manakala di peringkat Pusat pula, itu kuasa Perdana Menteri mengikut perlembagaan untuk memohon perkenan Yang Dipertuan Agong.
“Soal pembubaran terpulang kepada negeri masing masing…Bagi PAS, ia hanya boleh dilakukan apabila habis penggal kecuali ada keputusan terbaharu oleh pucuk pimpinan parti, soal parti lain saya tak nak masuk campur,” katanya seperti dilapor Utusan Malaysia.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Penutup Mahrajan Memanah Recurve Sekolah Menengah Agama Peringkat Kebangsaan Kali ketiga di Arena Emas, Taman Impian Emas, Johor Bahru, hari ini.
Pada 1 Jun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sewaktu berucap pada Konvensyen BN memberi jaminan tidak akan melewatkan walau sesaat pun untuk membubarkan Parlimen sekali gus mengadakan PRU15.
Manakala Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan sebelum itu dilaporkan berkata, PRU15 sudah mencapai tempoh matang dan kini memasuki tahun terakhir sebelum Parlimen dibubarkan. – Malaysiapost

