BEDAH siasat ke atas keratan mayat wanita warga emas yang dipercayai dibunuh anaknya di sebuah rumah di Taman Kerian, Parit Buntar mendapati punca kematiannya adalah akibat luka tetakan dan potongan tubuh badan.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, proses bedah siasat dijalankan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) hari ini.
“Tubuh mangsa telah dipotong sehingga putus kepada 15 bahagian, termasuk kepala, tangan, kaki serta organ badan yang lain.
“Mangsa didapati sudah meninggal dunia pada masa kejadian berkenaan,” katanya ketika seperti dilapor Harian Metro.
Semalam, media melaporkan, polis menahan seorang lelaki berusia 42 tahun kerana disyaki membunuh ibu kandungnya sendiri dan membuang mayat ke dalam tangki kumbahan di Taman Kerian, Parit Buntar.
Suspek sebelum ini pernah menerima rawatan sebagai pesakit mental di sebuah hospital 20 tahun lalu, namun tidak mendapatkan rawatan susulan. – Malaysiapost

