
MENGGERIKAN, apabila seorang lelaki dipercayai membunuh ibu kandungnya sebelum menggerat mayat mangsa kepada 15 bahagian dan kemudian menyumbatnya ke dalam tangki kumbahan di sebuah rumah di Taman Kerian, Parit Buntar, Perak.
Polis menerima maklumat mengenai penemuan potongan-potongan daging menyerupai anggota badan manusia dalam tangki kumbahan rumah berkenaan pada jam 3.30 petang semalam.
Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalatrash Wahid, berkata sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian dibantu Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak hadir ke lokasi kejadian dan menemui 15 keratan bahagian tubuh badan mayat yang telah dipotong.
“Susulan kejadian, pihak polis menahan seorang suspek lelaki berusia 42 tahun yang merupakan anak lelaki mangsa.
“Mangsa yang dikenalpasti adalah wanita berusia 68 tahun yang tinggal bersama suspek di rumah berkenaan sejak 12 tahun lalu selepas suami mangsa meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati kejadian berpunca dari rasa tidak puas hati suspek berkenaan dengan pembahagian harta pusaka mendiang bapa suspek.
“Suspek telah ditahan bagi membantu siasatan dan polis merampas sebilah parang, dua pisau serta barang-barang yang dipercayai digunakan oleh suspek bagi melakukan pembunuhan tersebut.
“Kes kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya. – Malaysiapost
