Khemah Besar: Kenapa kena ikut syarat Tun M, soal Husam

0
1

TUN Dr Mahathir Mohamad disaran untuk mengikut syarat parti lain untuk membentuk ‘khemah besar’ gabungan parti pembangkang bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). 

Bekas Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Husam Musa berkata, Pengerusi parti Pejuang itu tidak boleh sering meletakkan syarat kerjasama antara parti jika beliau jujur mahu menyelamatkan negara. 

“Mengapa kita perlu ikut syarat Mahathir untuk khemah besar? Kenapa Mahathir tidak ikut syarat parti lain pula? Kalau betul beliau memikirkan tentang rakyat negara ini yang berdepan harga barang naik, orang susah cari kerja dan kuasa membeli rendah.

“Tidak boleh ke sesekali beliau ikut syarat lain dan kenapa perlu letak dua tiga syarat,” katanya pada sidang media selepas selesai majlis ‘Save Kelantan’ di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai maklum balas kenyataan Dr. Mahathir yang mengakui ha­nya kerjasama antara parti-p­arti politik termasuk pembangkang di bawah khemah besar boleh menumbangkan Barisan Nasio­nal (BN) dalam PRU15. 

Bagaimanapun, Dr. Mahathir menegaskan, Pejuang menolak khemah besar itu jika ia diterajui sama ada oleh Presiden PKR, Datuk Se­ri Anwar Ibrahim atau Presi­den Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pada masa sama Husam menegaskan, fakta perlu diperbetulkan bagaimana dan punca kejatuhan Kerajaan Pakatan Harapan pada Februari 2020.

Jelas beliau, Anwar bukan menjadi punca sebaliknya Dr. Mahathir yang meletakkan jawatan secara mengejut tanpa berbincang dengan pemimpin PH lain.

“Sedangkan Anwar sendiri sudah memberi sokongan kepada Mahathir untuk meneruskan tugas sebagai Perdana Menteri sehingga habis penggal pada mesyuarat terakhir PH.

“Walaupun ada perjanjian Mahathir hanya menjadi Perdana Menteri selama dua tahun sebelum menyerah kepada Anwar,” katanya. 

Terdahulu, dalam satu program wawancara bersama Utusan Malaysia, Dr. Mahathir menjelaskan, beliau masih lagi perdana menteri jika bukan kerana tindakan Anwar yang mahu menjadi Perdana Menteri sekali gus menyebabkan kedua-dua mereka gagal mendapat majoriti sokongan Ahli Parlimen selepas insiden ‘Langkah Sheraton’. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here