Dulu anti pengangkutan awam, kini pura-pura nak selesai masalah – Ka Siong

0
1

PAKATAN Harapan (PH) disifatkan sebagai kerajaan yang anti pengangkutan awam ketika berkuasa memerintah Malaysia selama 22 bulan dahulu. 

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata ketika PH menjadi kerajaan, mereka telah mengabaikan atau membatalkan beberapa projek mega pengangkutan awam seperti Projek Kereta api Laju (HSR), RTS Link Johor-Woodlands dan projek rel Landasan Berkembar Elektrik. 

“Malah, mereka juga telah mengecilkan (downsized) projek LRT3 dengan membatalkan lima stesen dan kerja-kerja membina terowong serta mengurangkan gerabak keretapi. 

“Akhirnya menyebabkan projek itu tertangguh sehingga ke 2024. Pengoperasian MRT 2 juga telah ditangguhkan sehingga 16 Jun selepas PH mengabaikan projek infra rakyat tersebut. 

“Sebagai kerajaan ‘anti-pengangkutan awam’, PH telah membatalkan banyak projek pengangkutan awam yang boleh menyelesaikan kesesakan lalu lintas,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Ahli Parlimen Ayer Hitam itu berkata demikian mengulas kenyataan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong yang mendakwa terdapat keperluan untuk membangunkan pengangkutan awam bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di Lembah Klang terutama di Kuala Lumpur ketika ini. 

Mengulas lanjut, Ka Siong membidas  Chin Tong yang cuba mengelirukan rakyat dengan sikap hipokrit kononnya PH mengambil berat isu kesesakan ketika ini. 

“Jadi, kenapa PH tidak selesaikan masalah kesesakan lalu lintas ini apabila berkuasa pada 2018? Sebaliknya menangguh dan menghentikan beberapa projek infrastruktur pengangkutan awam?

“Tetapi sekarang apabila menjadi pembangkang, Liew Chin Tong dilihat bersikap hipokrit atau penuh kepura-puraan dengan bertanya bagaimana untuk menyelesaikan kesesakan lalu lintas,” katanya. 

Ka Siong juga menegaskan, pihaknya sedang berusaha menangani masalah kesesakan lalu lintas dengan beberapa langkah jangka pendek melalui penguatkuasaan lebih tegas Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). 

Beliau berkata, JPJ telah diarahkan untuk meningkatkan penguasaan terhadap pemandu kenderaan berat yang memasuki laluan ke ibu negara pada waktu puncak.

“Saya tidak mengatakan Kementerian Pengangkutan tidak dapat menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas tetapi saya telah menekankan bahawa MOT sedang berusaha untuk menyelesaikannya.

“JPJ juga telah mengeluarkan kenyataan baru-baru ini berhubung Peraturan Larangan Waktu Terhad bagi kenderaan barangan melibatkan kenderaan berat yang memasuki Pusat Bandar KL pada waktu puncak. 

“Kebanyakan kenderaan berat ini dilihat tidak mengendahkan larangan tersebut dan menyebabkan kesesakan lalu lintas di Selangor dan KL pada waktu puncak,” katanya. 

Sehubungan itu, beliau telah mengarahkan JPJ untuk menambah tenaga kerja mereka untuk menguatkuasakan peraturan itu untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas.

“Bukan itu sahaja, kami juga akan meminta lebih ramai anggota polis trafik untuk mengawal lalu lintas di kawasan yang mengalami kesesakan teruk pada waktu puncak bagi memastikan kelancaran aliran trafik,” katanya. 

Manakala, bagi langkah jangka panjang, Ka Siong berkata, kerajaan sedang merancang untuk membina lebuh raya baru selain menggalakkan orang ramai untuk menggunakan pengangkutan awam. 

“Bagi jangka masa panjang pula, kita perlu meningkatkan kualiti pengangkutan awam dan mengurangkan kesesakan lalu lintas kerana bilangan kenderaan persendirian yang semakin tinggi di jalan raya,” katanya.

Ka Siong yang juga Presiden MCA membidas Chin Tong mengenai pemberian subsidi untuk menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam.

“Sementara cadangan Liew Chin Tong pula sangat mudah iaitu Kerajaan mesti menyokong dan memberi subsidi untuk pengangkutan awam.

“Kerajaan telah memperuntukkan RM115 juta untuk pas perjalanan tanpa had My50 dan My100. Saya tertanya-tanya, berapakah jumlah subsidi yang perlu ditambah oleh ‘Kerajaan muflis’ sebagaimana yang sering dicanang Liew Chin Tong sebelum ini?” soalnya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here