KETUA Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil menyifatkan pemimpin Umno yang tidak mahu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) disegerakan adalah individu yang takut ‘berpisah’ dengan jawatan menteri termasuk Tan Sri Annuar Musa.
Justeru, beliau mengingatkan Ahli Parlimen Ketereh itu dan juga beberapa pemimpin Umno yang terlibat supaya tidak mendahului kepentingan diri mengatasi rakyat dan parti.
Sedangkan, katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah menegaskan dalam Konvensyen BN kelmarin, bahawa beliau tidak akan melambatkan pilihan raya walau sesaat selepas BN bersedia.
“Dan apabila Pengerusi BN tanya perwakilan dalam Dewan Merdeka, rata-rata semua bangun mahukan supaya pilihan raya tidak ditangguh dan telah bersedia untuk mengembalikan mandat kepada rakyat dalam pilihanraya segera.
“Yang tidak bangun dan belum bersedia atau takut untuk berhadapan dengan rakyat hanyalah beberapa orang sahaja termasuk Annuar Musa.
“Yang tidak mahu kembalikan mandat kepada rakyat dan yang mahu tangguh pilihanraya itu adalah yang takut berpisah dengan jawatan menteri mereka,” katanya menerusi Facebook.
Isham berkata, PRU15 penting untuk memulihkan ketidakstabilan politik dan keadaan ekonomi negara dengan kadar segera.
“Dahulukan rakyat dan negara. Dan jangan takut hilang jawatan menteri, rezeki tidak pernah salah alamat. Jika Allah izinkan ia tidak lari ke mana,” katanya.
Dalam pada itu, Isham turut mempersoalkan tindakan Annuar yang dilihat seakan mengikut ‘cakap’ DAP dan Pakatan Harapan (PH) berhubung pendirian mengadakan PRU15.
“Semalam Annuar Musa kata perjanjian persefahaman (MoU) antara kerajaan dengan PH tiada tarikh tamatnya.
“Apa yang dia kata ini samalah seperti apa yang pemimpin-pemimpin PH dan Anthony Loke dari DAP kata sebelum ini, mereka ini takut untuk berdepan rakyat dalam pilihanraya oleh itu mahu tangguh pilihanraya selama mungkin.
“Yang saya musykil adalah kenapa Annuar Musa pergi ikut cakap PH dan DAP pula, wallahualam,” katanya.
Jelas Isham, Umno sudah membuat keputusan dalam Majlis Tertinggi berkenaan hal itu termasuk tidak menyokong jika MoU antara kerajaan dengan PH disambung selepas Julai ini.
“PM adalah ahli Majlis Tertinggi Umno dan telah bersetuju dengan keputusan ini. Annuar Musa bukan dalam Majlis Tertinggi Umno dan dia perlu akur dengan keputusan Majlis Tertinggi.
“Bukan ikut kepala sendiri untuk menjaga kepentingan politik diri sendiri atau untuk memanjangkan jangka hayat jawatan menterinya,” katanya.
Sebelum ini, Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia menegaskan MoU Kerajaan-PH tiada tarikh tamat.
Sebaliknya, beliau berkata, MoU tersebut menyatakan bahawa kerajaan dan PH bersetuju untuk tidak mengadakan PRU15 sebelum 31 Julai ini. – Malaysiapost

