PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencabar pemimpin pembangkang untuk menyokong supaya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan segera.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, berkata adalah tidak wajar sekiranya pemimpin pembangkang menjadikan kerajaan sebagai ‘kesempatan’ mengulangi politik amarah dan kebencian termasuk menggelar sebagai ‘cap ayam’.
“Jadi, jika pembangkang berpegang kepada kata, maka ‘walk the talk’ dan menyokong diadakan segera PRU15.
“Kita serahkan semula mandat kepada rakyat menentukan kerajaan baharu berdasarkan lunas demokrasi,” katanya menerusi Facebook.
Ahmad Zahid berkata, sekiranya pembangkan tiada kesungguhan untuk berbuat demikian demi rakyat maka wajarlah mereka juga dilabelkan sebagai ‘pembangkang cap ayam’.
“Terserlahlah jua MoU dimeterai pembangkang cumalah sebuah kepura-puraan yang nyata,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Zahid juga meminta pemimpin pembangkang supaya ‘cermin diri’ terlebih dahulu sebelum melabelkan kerajaan hari ini sebagai cap ayam.
Beliau berkata, sedangkan gelaran itu seolah-olah dituju kepada pembangkang kerana individu yang dulu pernah bekerjasama dengan mereka kini turut berada dalam kerajaan sekarang.
“Pemimpin pembangkang melabelkan kerajaan campuran hari ini sebagai Kerajaan Cap Ayam. Mengancam mahu menggerakkan rakyat bagi menyuarakan kemarahan terhadap Kerajaan Cap Ayam.
“Tetapi cermin-cerminkan diri wahai saudara. Usah mengata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih. Bercakap siang pandang-pandang, bercakap malam dengar-dengar. Kelak terkena batang hidung sendiri.
“Kerajaan yang mereka labelkan cap ayam ini turut dibarisi pemimpin yang pernah bersekongkol dengan mereka,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, pentadbiran 22 bulan mereka yang berdasarkan fitnah dan pembohongan itu akhirnya tumbang dengan sendiri oleh kerana tiada keberkatan dan kestabilan dalam parti tersebut.
“Senada dan seiringan membentuk kerajaan 22 bulan selepas menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) hasil fitnah dan pembohongan.
“Namun tumbang dengan sendirinya angkara tiada keberkatan dan kestabilan politik sesama mereka,” katanya. – Malaysiapost

