AHLI Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menafikan dakwaan berhubung pelantikan dirinya sebagai Duta Besar ke Amerika Syarikat (AS).
Mohamed Nazri, berkata berita itu hanya bersifat spekulasi semata-mata dan tidak sahih.
Katanya, berita pelantikan itu mungkin ‘bertiup kencang’ memandangkan Kabinet ada membuat keputusan berkenaan mengenainya.
“Sehingga kini tiada berita apa pun. Sekarang spekulasi sahaja. Cakap apa pun tidak guna…kita tunggu sajalah,” katanya seperti dilapor FMT, hari ini.
Mohamed Nazri berkata demikian mengulas laporan media yang mendakwa beliau bakal dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Washington.
Bagaimanapun perkara itu belum dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.
Sebelum ini, khabar angin pernah muncul mendakwa Mohamed Nazri bakal dilantik sebagai duta besar Malaysia ke Switzerland namun ditolak oleh kerajaan negara berkenaan.
Bagaimanapun, Kementerian Luar menafikan pencalonan Mohamed Nazri ditolak sebaliknya beliau tidak boleh menjadi duta besar ke negara itu kerana Switzerland menetapkan individu yang masih berkhidmat sebagai ahli Parlimen tidak boleh menjadi calon jawatan berkenaan.
Namun Nazri pula menegaskan, beliau menolak jawatan itu kerana perlu melepaskan kedudukannya sebagai Ahli Dewan Rakyat. – Malaysiapost

