Kemuafakatan BN isyarat jelas sedia hadapi PRU15 – Zahid

0
2

KEMUAFAKATAN yang ditonjolkan setiap parti komponen Barisan Nasional (BN) dalam konvensyen yang dianjurkan semalam, menunjukkan isyarat jelas BN sudah bersedia untuk menawan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata Konvensyen BN menjadi bukti BN masih kukuh dan memberi isyarat jelas gabungan itu sudah bersedia memimpin Malaysia semula.

“Saksikan Konvensyen Barisan Nasional sempena Sambutan Ulang Tahun BN Ke-48 telah berlangsung dalam suasana yang begitu hebat.

“Semangat dan keazaman dipamerkan para pendukungnya menzahirkan sebuah keyakinan BN akan kembali menerajui pentadbiran negara.

“Kemuafakatan BN dalam misi mengembalikan hak rakyat untuk sebuah kerajaan yang jitu dan stabil pada PRU15 adalah kukuh lagi progresif,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Presiden Umno berkata, BN semakin memperkukuhkan kedudukannya dan kembali diterima rakyat sekali gus menidakkan halusinasi pihak yang dulu angkuh mendakwa parti itu sudah tiada atau tidak lagi relevan selepas PRU14.

“Terima kasih kepada seluruh pendokong BN yang hadir ke konvensyen itu memperlihatkan ‘enthusiasm’ sebuah atmosfera kemenangan.

“Rakyat kembali meyakini BN adalah berasas kerana ia satu-satunya gabungan politik yang terbukti berwibawa, tersusun dan berpengalaman.

“Parti Perikatan yang diteruskan melalui BN telah memimpin kerajaan selama 62 tahun iaitu sejak negara mencapai kemerdekaan,” katanya.

Ahmad Zahid juga menegaskan, angin perubahan terus bertiup ke arah BN menerusi beberapa keputusan di pilihan raya kecil dan pilihan raya negeri sebelum ini yang menunjukkan BN kembali mendapat kepercayaan rakyat.

“Justeru, segala nikmat kemakmuran dan kesejahteraan yang negara kecapi sebelum 9 Mei 2018 adalah hasil olahan kerajaan BN.

“Rakyat telah mengerti realiti itu dan ia sudah pun diterjemahkan dalam beberapa pilihan raya kecil dan negeri sebelum ini.

“Semangat dan keazaman BN tidak akan terhenti setakat konvensyen melabuhkan tirai, sebaliknya menjadi wadah perjuangan yang berterusan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here