Dua remaja dilapor hilang ditemui meninggal dunia dalam MPV

0
1

DUA remaja yang dilaporkan hilang minggu lalu, akhirnya terjawab apabila polis menemui mayat mereka dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di ruang parkir bawah tanah sebuah bangunan kondominium di Bandar Sri Permaisuri, Cheras pada Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, kedua-dua mayat masing-masing seorang remaja perempuan dan lelaki berusia 19 tahun itu ditemui selepas polis menerima aduan orang awam pada jam 8.26 malam.

Menurutnya, hasil pemeriksaan polis menemui mayat seorang perempuan di bahagian penumpang hadapan dan mayat seorang lelaki di bahagian penumpang belakang kenderaan terbabit yang dipercayai telah lima hari meninggal dunia.

“Pemeriksaan ke atas tubuh kedua-dua mangsa serta tempat kejadian mendapati tiada sebarang unsur jenayah.

” Siasatan juga mendapati pemilik asal MPV terbabit telah selesai menjual kenderaan itu kepada ayah mangsa remaja lelaki berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhammad Idzam m berkata, polis telah menerima laporan mengenai kehilangan dua remaja berkenaan daripada keluarga mereka, masing-masing di Klang, Selangor dan Nilai, Negeri Sembilan pada 23 dan 24 Mei lepas, selepas gagal menghubungi kedua-dua mangsa.

“Seorang mangsa merupakan penuntut di sebuah institusi pengajian tinggi awam manakala seorang lagi akan memasuki ke sebuah maktab perguruan.

“Hubungan kedua-dua mangsa adalah rakan dan mereka bukanlah penduduk di kondominium terbabit,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Canselor Tuanku Muhriz untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Sehubungan itu, beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu untuk tampil membantu siasatan polis dengan menyalurkan maklumat terus kepada Ketua Polis Balai Salak Selatan, Insp Muhd Arfizan Ab Aziz di talian 019-9198729 atau Hotline Polis Cheras di talian 03-9284 5050/5051. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here