PELAKON dan pengarah Datuk Rosyam Nor menerima kecaman netizen selepas didakwa tidak sensitif menyentuh perihal status duda pelawak Shuib ketika siaran langsung Anugerah Meletop Era 2022 (AME2022) malam tadi.
Ketika anugerah itu berlangsung, Rosyam atau nama sebenarnya, Mohamed Noor Shamsuddin dikatakan melakukan provokasi sepertinya memaksa Shuib, 38, untuk menamatkan status duda sekali gus menimbulkan situasi kurang menyenangkan di atas pentas.
Situasi itu berlaku ketika mereka bertindak sebagai penyampai anugerah yang berlangsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
“Rosyam Nor tanya Shuib dalam stesen televisyen nasional ‘kau duda terhangat sekarang. Dah lapan bulan ni kan, ada pengganti?’.
“Shuib nampak sangat tak selesa (dengan soalan yang ditanyakan) tetapi berjaya menangani situasi berkenaan secara profesional namun Rosyam terus memaksa untuk jawapan,” ciap seorang pengguna Twitter.
Sementara itu, ada dalam kalangan netizen yang menyifatkan perbuatan Rosyam, 55, sebagai biadab.
“Tidak berniat untuk tidak menghormati Rosyam Nor tetapi dia biadab atau bagaimana? Kasihan Shuib kena jawab dan terpaksa senyum. Ingat kelakar ke? Tolonglah matang sikit,” tulis seorang netizen.
Malam tadi, disebabkan acap kali diasak soalan tentang status duda, diminta ‘move on’ dan mencari pengganti isterinya, Allahyarham Siti Sarah, Shuib secara spontan berkata: “Kau apa hal? Lu ingat lu gangster ke?”
Bagaimanapun, barangkali untuk meredakan suasana tegang, Shuib menerangkan, bahawa dia hanya berseloroh atau berlakon di atas pentas.
Shuib dan Allahyarham Siti Sarah mendirikan rumah tangga pada tahun 2011.
Allahyarham Siti Sarah menghembuskan nafas terakhir pada pukul 5.13 pagi, 9 Ogos tahun lalu di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) akibat Covid-19.
Hasil perkahwinan mereka selama 10 tahun, Shuib dan Siti Sarah dikurniakan empat orang anak Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, Ariq Matin, 6 dan Ayyash Affan 6 bulan. – Malaysiapost
Kunjungi bahagian Hiburan untuk baca cerita yang terkini dan menarik

