Syed Saddiq ‘panas hati’ dilabel antara Ahli Parlimen lompat parti 

0
2

AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq menyatakan rasa tidak puas hati susulan seakan ‘dilabel’ menjadi antara Ahli Parlimen yang melompat parti, menerusi laporan sebuah akhbar arus perdana, semalam.

Beliau berkata, gambar wajahnya yang diletakkan di muka depan surat khabar berkenaan dengan tajuk ‘Segera Gubal RUU Anti Lompat’, seumpama mengesahkan beliau melompat daripada Bersatu.

“Wajah saya berada di muka depan Berita Harian edisi semalam, di kalangan ramai Ahli Parlimen lain. Tajuknya berbunyi ‘Segera Gubal RUU Anti Lompat’

“Seumpama saya yang melompat keluar Bersatu. Sejak bila pula saya lompat? Saya dipecat dari parti sebab tolak penubuhan ‘backdoor government’,” tegasnya menerusi Facebook.

Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu berkata, beliau bukan keluar daripada Bersatu sebaliknya dipecat.

“Berapa kali saya nak tegaskan, saya tak keluar Bersatu tetapi saya dipecat. Saya dipecat daripada parti yang saya bantu tubuhkan. 

“Saya masuk politik sebab nak lawan rasuah bukan nak jadi perasuah. Saya tak akan khianat mandat rakyat. Saya tetap berani berdiri teguh dan tegap dengan prinsip perjuangan saya,” katanya.

Jelas Syed Saddiq lagi, sebagai seorang individu yang berprinsip beliau tidak akan mengikut sesuatu perkara yang salah secara membuta tuli selain perlu menjaga amanah rakyat.

“Maaf tapi saya bukan katak. Yang lompat parti itu, ada dalam Kerajaan hari ini. Boleh tanya mereka,” katanya.

Terdahulu, Pakatan Harapan (PH) menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob agar mengadakan sidang khas Parlimen bagi membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti secepat mungkin.

Majlis Presiden PH dalam satu kenyataan bersama berkata, Ismail Sabri perlu menunaikan janji membahaskan RUU berkenaan memandangkan beliau telah beberapa kali memberikan komitmen mengenai perkara tersebut.

Menurut kenyataan tersebut, selain RUU tersebut, sidang khas Parlimen itu juga harus membincangkan permasalahan dihadapi rakyat ketika ini antaranya kos sara hidup dan inflasi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here