Dasar Pandang ke Timur penyumbang kemajuan pelbagai sektor – PM

0
1

DASAR Pandang ke Timur yang dimulakan 40 tahun lalu menjadikan Malaysia antara destinasi pelaburan strategik bagi syarikat terutamanya dari negara matahari terbit itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ia sekali gus menjadi penyumbang kemajuan pelbagai sektor di negara ini.

Justeru, Ismail Sabri berkata, dalam pertemuan bersama Presiden Japan-Malaysia Economic Association (JAMECA), Tsuyoshi Nagano pagi tadi, mereka menyatakan hasrat untuk membantu Malaysia menarik lebih ramai pelabur Jepun.

“Ini akan membantu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan merancakkan kembali ekonomi negara,” katanya menerusi hantaran di media sosial miliknya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, jumlah perdagangan antara Malaysia dan Jepun dalam tempoh Januari hingga Mac tahun 2022, meningkat 13.3 peratus dengan RM41.75 bilion (USD9.96 billion) berbanding RM36.86 (USD9.07 bilion) dalam tempoh sama tahun lalu.

Dalam tempoh berkenaan, katanya, jumlah eksport Malaysia ke Jepun meningkat 19.6 peratus iaitu RM22.68 bilion (USD5.41 bilion) berbanding RM18.96 (USD4.66 bilion) pada 2021.

Dalam pertemuan itu, Ismail Sabri berkata, JAMECA menyatakan hasrat untuk mengadakan Seminar Dasar Pandang ke Timur pada 1 Ogos 2022 ini.

JAMECA ditubuhkan secara rasmi pada 1977 di Kuala Lumpur dengan tujuan untuk mempromosikan keharmonian hubungan ekonomi antara Malaysia dan Jepun. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here