GARA-GARA patung beruang tersekat di dalam longkang menyebabkan kawasan di Bulatan Merdeka semalam, dinaiki air dan banjir.
Susulan insiden itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi Facebook, meluahkan rasa kesal terhadap sikap segelintir masyarakat yang tidak bertanggungjawab dan mengambil mudah dalam menjaga persekitaran, yang akhirnya memberi kesan kepada orang ramai seperti yang berlaku ini.
Katanya, apabila berlaku banjir, rata-rata pihak akan menyalahkan pihak berkuasa kerana tidak menyelenggara sistem perparitan dengan baik tetapi jika orang ramai mempunyai sikap sedemikian maka banjir tetap akan terjadi.
“Fikir-fikirkan sendiri… Kenapa perlu buang di dalam longkang jika tidak diperlukan lagi…tong sampahkan ada…
“Bila longkang tersumbat…banjir kilat berlaku…ramai yang sengsara…mungkin kerugian harta benda lagi…jangan salahkan pihak berkuasa tak buat kerja pulak nanti,” kata DBKL.
Menerusi video berdurasi lapan saat itu memaparkan seorang pekerja DBKL menarik keluar satu patung beruang yang agak besar saiznya, tersekat di dalam longkang.
Justeru, ia juga menjadi punca air tidak dapat mengalir sekali gus mengakibatkan banjir di kawasan itu. – Malaysiapost

