GEMPAR selepas Pekan Tak Bai dalam Wilayah Narathiwat digegarkan dengan beberapa siri letupan bom selain kedengaran kejadian berbalas tembakan, malam tadi.
Kejadian dilapor berlaku pada jam 9.40 malam dan dipercayai menyasarkan pihak berkuasa.
Malah, Kejadian itu dilapor turut didengari dari arah Pengkalan Kubor, Tumpat yang terletak seberang dengan Pekan Tak Bai.
Berdasarkan beberapa video yang tular di media sosial sejak malam tadi, insiden menyebabkan keadaan huru-hara dan situasi tegang.
Difahamkan, pihak berkuasa Thailand mengawal keadaan dan turut melakukan tangkapan.
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun mengesahkan kejadian berlaku di sempadan Malaysia-Thailand berdekatan Tumpat.
Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut dan menyerahkan semuanya kepada pihak berkuasa Thailand.
Dalam pada itu, sumber pasukan keselamatan Thailand mengesahkan kejadian tembakan dan bom di Pekan Tak Bai.
“Operasi pasukan keselamatan masih berjalan buat masa ini (11 malam waktu Malaysia),” katanya.
Sementara itu, memetik laporan airtimes.my, media Thailand melaporkan Balai Polis Marin Tak Bai diserang oleh sekumpulan individu tidak dikenali.
“Enam penyerang telah campak bom dan melepaskan tembakan ke arah balai polis. Seramai tiga anggota keselamatan Thailand cedera.
“Pertempuran antara kedua-dua berlaku dan diikuti dengan tiga letupan,” katanya. – Malaysiapost

