Keluar Bersatu: ‘Keputusan Zuraida tidak mengejutkan, sudah dijangka’ – Wan Saiful

0
1
Malay Mail

TINDAKAN Datuk Zuraida Kamaruddin keluar Bersatu bukan satu perkara yang mengejutkan kerana keputusan Ahli Parlimen Ampang itu memang dijangkakan, kata Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Wan Saiful berkata, Bersatu sebelum ini sudah membincangkan kedudukan Ahli Parlimen Ampang itu, setelah meneliti tindak-tanduk beliau yang terkini.

“Surat tunjuk sebab juga telah dikeluarkan hasil daripada pertimbangan tersebut.

“Biro Politik Bersatu juga sebenarnya telah mengambil ketetapan mengenai kedudukan beliau dalam parti.

“Kerana itulah, bagi saya, tindakan YB Datuk Zuraida bukan satu perkara mengejutkan kerana ia memang telah dijangka,” katanya menerusi Facebook.

Wan Saiful berkata, dalam keadaan seluruh negara sedang menekankan mengenai kepentingan kestabilan politik, Zuraida sebaliknya bertindak berdasarkan pertimbangan sendiri sahaja.

Berhubung jawatan Kabinet, beliau berkata, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Presiden Bersatu dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) akan menamakan calon yang sesuai dari kalangan pemimpin parti itu.

Sementara itu, Ahli Majlis Pimpinan Tinggi Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na’aman menyifatkan tindakan Zuraida itu, sebagai oportunis dan mementingkan diri.

“Kita menghormati pilihannya. Itu hak demokrasi dalam politik. Namun tindakannya dilihat opportunis dan mahu dirinya mengetuai sendiri gerakan/parti politik.

“Alangkah lebih jujur jika dirinya mengaku dari awal bahawa penubuhan PBM juga turut melibatkan dirinya untuk raih sokongan dari pihak Bukan Islam bekas PKR terutama di kawasan bandar.

“Bagaimanapun, Alhamdulillah Akhirnya keluar juga dia. Kita tak perlu ultra feminisme dalam Keluarga Malaysia.. Memadai Islam dan budaya Melayu memartabatkan hak wanita kita sejak dahulu,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here