Insiden Tak Bai: Polis sahkan tiada rakyat Malaysia terbabit

0
1

POLIS mengesahkan tiada pembabitan rakyat Malaysia setakat ini dalam kejadian letupan bom dan berbalas tembakan senjata api di Takbai, selatan Thailand, malam tadi.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, berkata susulan insiden itu, pihaknya mempertingkatkan lagi kawalan dan memberi jaminan keselamatan negara ini berada dalam keadaan sangat baik.

Beliau juga percaya insiden pada jam 9.35 malam (waktu tempatan) itu tiada kaitan dengan aktiviti penyeludupan, namun ia bergantung kepada hasil siasatan pihak berkuasa negara jiran.

“Kita akan tunggu hasil siasatan pihak sana (Thailand), tak boleh kata tidak terlibat tapi setakat ini tiada pembabitan orang kita dalam insiden sana.

“Saya rasa, setakat pemerhatian kita, tiada kaitan dengan soal penyeludupan, tapi kita tunggulah hasil siasatan dari negara jiran.

“Dari dulu lagi apabila kita buka saja sempadan, kita sudah perketat kawalan bermula daripada lapisan pertama hingga ketiga dan saya jamin keselamatan rakyat kita dalam keadaan amat baik,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Muhamad Zaki berkata, dari segi pergerakan orang ramai untuk keluar masuk ke dua negara ini, setakat ini ia berjalan seperti biasa dan tiada kekangan seperti didakwa.

Beliau berkata, jika disebabkan insiden serangan itu sempadan kembali ditutup, ia seolah-olah memutuskan hubungan diplomatik antara kedua negara.

“Apabila pintu masuk sempadan sudah dibuka, mereka yang memenuhi syarat iaitu ada pasport dan pas sempadan, kita tak boleh sekat (pergerakan keluar masuk) tapi kita kawal. Setakat ini, tiada apa-apa perubahan,” katanya.

Pekan Tak Bai dalam Wilayah Narathiwat digegarkan dengan beberapa siri letupan bom selain kedengaran kejadian berbalas tembakan, malam tadi.

Dalam serangan terhadap balai polis marin Tak Bai itu, tiga anggota keselamatan cedera selepas diserang individu bersenjata api dan bom tangan.

Malah, kejadian itu dilapor turut didengari dari arah Pengkalan Kubor, Tumpat dyang terletak seberang dengan Pekan Tak Bai. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here