PENDAKWAH bebas, Firdaus Wong Wai Hung mempersoalkan motif seorang lelaki berpakaian seperti individu Muslim untuk melakukan jenayah khianat dengan membuang patung kepercayaan masyarakat Hindu, baru-baru ini.
Menurut Firdaus Wong, walaupun individu berkenaan sudah dijatuhi hukuman oleh mahkamah di atas perbuaatannya itu, namun persoalan penting masih belum terjawab.
“Dia dijatuhkan hukuman tetapi persoalan yang lebih penting masih belum terjawab.
“Apakah motif dia memakai kain pelikat dan bersongkok (seperti seorang Muslim) ketika melakukan perbuatan itu?
“Itu soalan yang masih belum terjawab yang saya percaya memerlukan jawapan,” katanya menerusi Facebook.
Firdaus Wong berkata, sekiranya lelaki berkenaan adalah seorang Muslim maka perbuatannya adalah salah, namun jika sebaliknya tindakan itu sangat jahat kerana mewujudkan persepsi terhadap Islam.
“Jikalau memang beliau seorang Muslim, maka perbuatannya salah. Jikalau beliau bukan Muslim tetapi berpakaian seperti seorang Muslim untuk melakukan kejahatannya itu, maka niatnya sangat jahat.
“Seperkara yang menarik adalah agama pelaku ini tidak disebut sebagaimana kebiasaan jikalau pelakunya adalah seorang Muslim, maka akan disebut agama Islam dan Muslim di dalam artikel,” katanya.
Dalam pada itu, Firdaus Wong berkata, apabila video perlakuan jenayah lelaki itu tular, ramai yang telah memaki hamun Islam dan masyarakat Muslim.
“Apakah mereka akan meminta maaf atau buat-buat lupa dan ‘life goes on’?,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan, polis menahan seorang lelaki selepas dipercayai bertindak membuang patung kepercayaan masyarakat Hindu dalam satu kejadian di Taman Scientex, Senai, Johor selepas video memaparkan perbuatan lelaki itu tular di media sosial.
Susulan itu, lelaki yang juga seorang pembantu kedai makan didenda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret selepas mengaku bersalah melakukan khianat dengan mengambil dan membuang patung hiasan pada pancutan air di sebuah rumah ke dalam tong sampah.
Hukuman itu dijatuhkan terhadap tertuduh, Gabriele Jungkak Anak Steward, 23, selepas dia mengaku bersalah sejurus pertuduhan dikemukakan terhadapnya. – Malaysiapost

