BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mempertikaikan tindakan pihak tertentu yang menjadikan cadangan untuk menyelamatkan Sapura Energy Bhd (Sapura) sebagai isu perkauman.
Ahli Parlimen Pekan itu, berkata walaupun Sapura dibina oleh usahawan Bumiputera tetapi syarikat itu amat penting kepada pembangunan dan kelangsungan Petronas serta sektor minyak dan gas negara.
Beliau berkata, sekiranya Petronas atau kerajaan berjaya memulihkan semula Sapura, keuntungan besar itu akhirnya akan dikongsi dengan semua rakyat melalui perbelanjaan dan bantuan yang lebih besar.
“Petronas bersama sektor minyak dan gas negara adalah penyumbang utama kepada hasil kerajaan setiap tahun.
“Kerajaan pula memberi pelbagai bantuan kepada Rakyat serta melaksanakan pelbagai projek pembangunan yang memanfaatkan seluruh negara tanpa mengira kaum atau agama,” katanya menerusi Facebook.
Beliau berkata, Sapura juga mengupah bukan Bumiputera dalam syarikat itu, selain tidak menghalang mereka untuk membeli saham syarikat dan menerima manfaat sekiranya Sapura berjaya dipulihkan.
Dalam pada itu, Najib berkata, beliau percaya Sapura mampu membayar balik pinjaman bank sebagaimana syarikat itu pernah mengurangkan hutang dari RM18 bilion ke RM10 bilion dalam tempoh lima tahun.
Kata Najib, keyakinan itu dinyatakan melihat kepada keadaan sektor minyak dan gas dunia yang sudah memulih; kontrak bernilai RM8 bilion dalam tangan dan keperluan Petronas yang telah gandakan perbelanjaan CAPEX ke RM50 bilion tahun ini.
“Sebab itu, pihak sebelah sana patut hentikan permainan propaganda perkauman untuk menghasut rakyat dan menanam kebencian antara kaum,” katanya. – Malaysiapost

