PRU15: PAS tidak sertai khemah besar, tolak idea PN gabung dengan PH – Idris

0
2

PAS berkemungkinan tidak akan menyertai khemah besar bersama parti pembangkang bagi menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15) nanti, kata Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad

Namun, Idris berkata, parti itu akan terus mempertahankan permuafakatan yang dibentuk bersama Perikatan Nasional (PN) dan Umno menerusi Muafakat Nasional (MN).

Beliau berkata, setakat ini kepimpinan parti tidak pernah mengadakan perbincangan secara khusus mengenai pembentukan khemah besar bersama Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi PRU15 nanti.

“Malah, PAS hanya akan mengadakan perbincangan dengan parti mewakili orang Melayu/Islam serta parti bukan Melayu yang tidak ekstrem.

“Kita juga sedia menerima Amanah jika mereka bersedia meninggalkan DAP,” kata seperti dilapor Sinar Harian.

Idris yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkata, biarpun jawatankuasa induk MN sudah lama tidak mengadakan mesyuarat, namun beliau sering bertemu dengan pemimpin Umno bagi membincangkan kepentingan dan perpaduan dalam kalangan umat Islam di negara ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, usaha untuk memperkukuhkan MN perlu dilakukan secara berterusan oleh pemimpin PAS dan Umno dari semasa ke semasa.

“PAS sentiasa bersedia mengadakan perbincangan dengan Umno dan parti lain mengenai soal untuk memperkukuhkan kerjasama dalam MN dan perpaduan dalam kalangan umat Islam di negara ini.

“Oleh itu, saya berharap semua parti dipimpin oleh orang Melayu/Islam supaya tidak terlalu mementingkan diri sendiri dan ego demi kemaslahatan ummah.

“Kalau pemimpin parti berkenaan berasa ego tolong tunjukkan kepada saya kerusi dan negeri mana mereka boleh memerintah secara solo selepas PRU15 nanti,” katanya.

Sebelum ini, Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan bahawa pendirian untuk tidak menyertai khemah besar sudah dibincangkan secara bersama antara parti-parti PN.

Katanya, strategi untuk bekerjasama dengan PKR juga tidak akan diulangi, memandangkan PAS telah merasainya selama 20 tahun termasuk ketika membentuk Pakatan Rakyat (PR). – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here