PEMUDA Amanah Negeri Perak menegur pimpinan Pakatan Harapan (PH) di semua peringkat agar menghormati mandat diberikan kepada Jawatankuasa Perundingan Kerusi yang ditubuhkan dalam menguruskan hal pembahagian kerusi bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Ketuanya Khairol Najib Hashim, berkata kenyataan terbuka yang bersifat peribadi mengenai kerusi sesuatu kawasan harus dielak supaya proses perundingan dihormati dan semua parti dapat menjaga keharmonian.
“Berkenaan kenyataan Abdul Aziz Bari (Ketua Pembangkang Perak) yang berhasrat untuk menawarkan diri bertanding di Parlimen Tambun, kami menganggap ia adalah hasrat peribadi dan tidak mengikat PH Perak untuk membuat keputusan tersebut.
“Sebagai Ketua Pembangkang Perak, kami berharap Abdul Aziz Bari memberi tumpuan lebih besar kepada usaha memperjuangkan isu-isu negeri dalam melonjakkan sokongan kepada PH Perak,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, mengenai calon, PH Perak mempunya ramai calon berkelayakan dan mempunyai merit yang baik untuk bertanding melawan siapa sahaja yang diletakkan oleh pihak lawan termasuk di Parlimen Tambun.
“Sudah semestinya sebagai sayap Pemuda, kami akan berusaha untuk meletakkan calon yang lebih bertenaga di setiap kerusi dalam PRU-15 dan berupaya memberi kemenangan kepada PH,” katanya. – Malaysiapost

