BAKAL jemaah haji remaja berusia 12 hingga bawah 18 tahun disaran agar mengambil dos penggalak vaksin Covid-19 sebelum berangkat ke Tanah Suci.
Menteri Kanan Kesihatan Khairy Jamaluddin, berkata saranan itu adalah langkah tambahan dibuat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) susulan saranan agar semua jemaah haji terutama yang berusia 60 tahun dan ke atas serta berusia 18 hingga 59 tahun yang mempunyai risiko klinikal penyakit teruk mendapatkan dos penggalak kedua.
Beliau berkata, bagaimanapun saranan dos penggalak bagi bakal jemaah haji kumpulan umur berkenaan tertakluk kepada syarat tertentu.
“Sekurang-kurangnya menerima dos kedua vaksin dos primer dalam tempoh lima bulan.
“Bagi remaja yang lengkap mengambil dos primer dan didapati mengalami jangkitan Covid-19, mereka layak menerima dos penggalak sebaik pulih sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, memandangkan jemaah haji juga perlu mengambil suntikan lain seperti meningococcal, influenza atau pneumococcal, jadi pemberian dos penggalak vaksin Covid-19 boleh diberikan dalam sela masa dua minggu sebelum atau selepas vaksin lain diberikan.
“Bakal jemaah haji itu boleh mendapatkan dos penggalak dengan hadir secara terus tanpa janji temu (walk-in) di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang masih beroperasi dengan membawa dokumen sokongan berkaitan (seperti bukti surat tawaran menunaikan haji),” katanya.
Khairy berkata, pada tahun ini, kerajaan Arab Saudi membenarkan pelaksanaan ibadah haji kepada sejuta jemaah haji dari semua negara selepas dua tahun ia ditangguhkan akibat pendemik Covid-19.
“Seperti negara lain, kuota haji yang ditawarkan kepada Malaysia pada tahun ini dihadkan kepada hanya 45 peratus daripada kuota pada 2019 iaitu 14,306 orang jemaah berbanding 31,600 orang.
“Sebagai langkah pencegahan dan kawalan, kerajaan Arab Saudi telah menetapkan bahawa semua jemaah haji perlu mendapatkan vaksinasi lengkap sebelum berlepas, selain turut mengsyorkan pengambilan dos penggalak,” katanya. – Malaysiapost

