POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan sedang menjalankan siasatan berhubung kenyataan seorang veteran DAP yang didakwa boleh menggugat ketenteraman awam.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Datuk Seri Abd Jalil Hassan, berkata pihaknya kini menyiasat satu ciapan di laman Twitter yang mengandungi kenyataan terbabit.
Menurutnya, ciapan itu mengandungi kenyataan “Adakah mungkin rumah Perdana Menteri dan Menteri-menteri di Malaysia dibakar oleh penunjuk perasaan yang marah seperti yang berlaku di Sri Lanka minggu lalu?”.

“Imej tangkap layar ciapan tersebut turut dikesan tepah ditularkan melalui aplikasi WhatsApp sejak ianya dimuat naik pada 19 Mei lalu.
“Siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan/Undang-undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan dengan niat mengaibkan mana-mana goongana atau kaum.
“Kes juga disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian,” katanya.
Abd Jalil turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.
“PDRM turut menasihatkan orang ramai agar menjadi pengguna media sosial yang bijak, berhemah dan tidak menggunakan paltform terbabit untuk menyebabkan sebarang maklumat yang boleh mendatangkan kegentaran awam serta menggugat keharmonian negara.
“Tindakan tegs tanpa kompromi bakal diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja menggugat ketenteraman serta keselamatan awam,” tegasnya.
Pada 19 Mei lalu, veteran DAP dalam satu kenyataannya membangkitkan persoalan adakah rumah Perdana Menteri dan Menteri-menteri di Malaysia dibakar oleh penunjuk perasaan yang marah seperti yang berlaku di Sri Lanka minggu lalu.
Beliau turut menyatakan perkara itu tidak akan berlaku hari, bulan dan tahun ini, tetapi teetanya mungkinkah ia akan berlaku sebelum negara mencatatkan ulang tahun yang ke-100 pada tahun 2057 atau 2063. – Malaysiapost

