Pakaian orang awam berurusan di pejabat kerajaan tidak boleh ditetapkan – DAP

0
1
Ngeh Koo Ham

DAP menggesa kerajaan mengenakan tindakan terhadap ketua jabatan yang didakwa melanggar undang-undang apabila menetapkan cara berpakaian orang ramai yang mahu beurusan di premis kerajaan.

Jurucakap bagi Ahli- ahli Parlimen DAP untuk Undang-undang dan Parlimen, Ngeh Koo Ham berkata menetapkan pakaian orang ramai yang mahu berurusan di pejabat kerajaan adalah di luar bidang kuasa ketua jabatan.

“Ketua Setiausaha Negara hendaklah segera bertindak terhadap ketua-ketua jabatan yang melanggar undang-undang apabila mereka menetapkan cara berpakaian orang ramai sebelum perkhidmatan boleh diberikan kepada mereka.

“Ketua-ketua jabatan harus menumpukan perhatian mereka dalam memperbaiki kelemahan perkhidmatan jabatan masing-masing,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Menurut Ahli Parlimen Beruas itu, beliau menerima beberapa aduan terdapat pejabat kerajaan kini menetapkan kod pakaian untuk orang awam sebelum mereka dibenarkan masuk ke pejabat untuk perkhidmatan yang akan diberikan kepada mereka.

“Ketua jabatan tidak mempunyai kuasa untuk membuat peraturan sedemikian dan dengan jelas telah bertindak secara tidak sah dan menyalahi undang-undang.

“Sejauh pengetahuan saya, tiada mana-mana undang-undang memberi kuasa kepada pegawai kerajaan untuk menetapkan pakaian yang mesti dipakai oleh orang ramai,” katanya.

Koo Ham menegaskan, penjawat awam perlu diingatkan bahawa mereka adalah orang yang digaji untuk memberikan perkhidmatan kepada orang awam dan gaji mereka dibayar oleh orang ramai.

“Mereka bertanggungjawab kepada orang ramai. Seorang petani berseluar pendek dan singlet atau orang Asli dalam berpakaian tradisional, berhak untuk dilayan oleh penjawat-penjawat awam.

“Seorang miskin yang tidak mampu membeli seluar panjang juga berhak untuk dilayan oleh penjawat awam.

“Fungsi penjawat awam adalah sebagai pemberi khidmat kepada orang ramai dan penjawat-penjawat awam tidak pada bila-bila masa menjadi tuan kepada orang ramai.

“Melainkan seseorang itu menyebabkan kacau ganggu di tempat awam, yang merupakan satu kesalahan di bawah Kanun Keseksaan, perkhidmatan awam mesti diberikan kepada semua rakyat,” katanya. -Malaysiapost

Kredit Foto: Facebook Ngeh Koo Ham

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here