MENTERI Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi membuat kejutan apabila bertindak menyamar sebagai orang awam untuk merasai sendiri proses memasuki Singapura dari bandar raya itu, hari ini.
Menerusi video berdurasi 28 saat yang dimuatnaik dalam hantaran Facebooknya, Onn Hafiz yang lengkap memakai topi dan berpelitup muka memaklumkan perjalanannya itu bermula daripada Terminal Bas JB Sentral.
Beliau juga menggunakan kaedah pengembara di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (Tambak Johor).
ADUN Machap itu dipercayai melakukan perjalanan bersendirian memasuki republik berkenaan menggunakan bas awam.
“Hari ini saya berada di JB Sentral, nak pergi ke Singapura naik bas, dan kembali semula (ke Johor Bahru) naik bas. Saya nak tengok sendiri keadaan dan servis di sini.
“Apa yang perlu dibuat penambahbaikan daripada segi perkhidmatan di sini, InsyaAllah,” katanya menerusi video itu.
Sementara itu, dalam hantaran berasingan, Onn Hafiz memaklumkan telah selamat pergi dan kembali ke Johor.
“Alhamdulillah, saya telah selamat pergi dan selamat kembali ke Johor. Saya lalui proses yang lazim dilalui semua.
“InsyaAllah, saya akan berjumpa dengan Pengarah Imigresen Johor, Kastam, KDN, JPJ, APAD dan SPRM Johor esok,” katanya.
Jelasnya, masih banyak ruang yang boleh diperbaiki demi keselamatan dan keselesaan jutaan pengguna.
“Saya dan agensi berkenaan akan berusaha untuk memperbaikinya dengan kadar segera, demi keselamatan dan keselesaan jutaan pengguna yang mengunjunginya setiap tahun. Semoga dipermudahkan segala urusan,” katanya.
Sempadan antarabangsa Malaysia-Singapura dibuka sepenuhnya bermula 1 April lalu yang mana dilihat begitu memberi manfaat khususnya kepada pengguna perjalanan darat antara kedua-dua negara. – Malaysiapost

