‘Rakyat sudah muak dengan Tun M, zaman beliau dah berlalu’ – Ahmad Maslan

0
2
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Ahmad Maslan

“RAKYAT Malaysia sudah mula muak dengan perangai Tun Dr Mahathir (Mohamad). Beliau kurang relevan kepada politik negara dan zaman beliau sudah semakin berlalu,” kata Datuk Seri Ahmad Maslan.

Setiausaha Agung Umno itu memberikan tiga sebab mengapa rakyat sudah muak dan beranggapan Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), kurang relevan kepada politik negara.

Katanya, pertama adalah lontaran kata nista kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak atas terma ‘cash is king’.

“Dr Mahathir patut ingat yang di zamannya, ‘crony is king’ dan bukan rakyat yang didahulukan. Ideologi ekonomi dalam memperkayakan segelintir kroni dengan anggapan yang lain akan mendapat faedahnya, sukar untuk menjadi.

“Hasilnya, kroni beliau yang sedikit itu menjadi kaya dan rakyat biasa terutama sekali Melayu atau Bumiputera masih kurang berjaya sehingga kini.

“Dr Mahathir pernah mengatakan bahawa beliau tidak pernah ada kroni, cuma ada orang yang layak dan berkebolehan. Mustahil jika dalam 32 juta rakyat Malaysia yang ada, hanya kroni beliau sahaja yang berkebolehan,” katanya menerusi Facebook.

Ahmad berkata, faktor kedua kerana bekas Perdana Menteri itu tidak mengutamakan dasar-dasar pro-rakyat seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Klinik 1Malaysia, Kedai 1Malaysia, kad siswa, subsidi bantuan kepada penoreh getah, nelayan dan sebagainya.

Beliau berkata, Dr Mahathir menganggap semua itu sebagai membazir dan memanjakan orang Melayu.

Ahmad Maslan turut memberikan perbandingan bahawa kali kedua Dr Mahathir dilantik sebagai Perdana Menteri yang menganjurkan Kongres Maruah Melayu tidak menawarkan apa-apa yang konkrit kepada orang Melayu.

“Baru-baru ini beliau berkata ada banyak perancangan untuk membangunkan orang Melayu namun tidak sempat kerana telah dibuang dan ditolak jatuh dari jawatan Perdana Menteri.

“Beliau sudah lupa bahawa beliaulah yang meletakkan jawatan dan mencetuskan konflik pentadbiran. Konflik ini telah menjatuhkan kerajaan yang diundi rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14,” katanya.

Ahmad Maslan berkata, sebab ketiga Dr Mahathir menjadi kurang relevan kerana diri Ahli Parlimen Langkawi itu tidak lagi dapat menguruskan dinamika politik Malaysia.

“Parti Pejuang adalah parti ketiga beliau setelah Umno, keluar Umno, masuk Umno; keluar semula Umno tubuh Bersatu; keluar Bersatu, tubuh Pejuang.

“Ketika Bersatu di dalam Pakatan Harapan (PH), Dr Mahathir gagal ‘mengawal’ Tan Sri Muhyiddin Yassin dan suatu perancangan ‘scheme of things’ berlaku yang menjadi rahsia umum itu.

“Dr Mahathir juga gagal ‘mengawal’ DAP dengan doktrin politik yang dapat memastikan parti itu menjaga kepentingan Melayu atau Bumiputera dalam setiap dasar, tindakan dan tutur kata,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here