TUN Dr Mahathir Mohamad menegaskan keperluan untuk Majlis Hukama’ Muslimin berpusat di Emiriah Arab Bersatu (UAE) menerajui usaha toleransi antara agama dengan menjadikan al-Quran dan kehidupan Rasulullah SAW sebagai dasar dan contoh.
Ia dinyatakan bekas Perdana Menteri itu ketika pertemuan dengan Ketua Setiausaha Majlis Hukama’ Muslimin, Mohamed Abdulsalam di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya semalam.
Menurut bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri, pertemuan kedua-dua tokoh itu yang turut dihadiri beliau berlangsung kira-kira sejam.
“Nama Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak perlu diperkenalkan lagi dalam dunia Islam khususnya dunia Arab.
“Dalam tempoh satu jam, kami berbincang tentang masa depan umat Islam dan keperluan memperkukuh kerjasama sesama negara Islam bagi menghadapi sebarang cabaran zaman,” kata Zulkifli menerusi hantaran di Facebooknya.
Beliau berkata Majlis Hukama’ Muslimin Malaysia akan sentiasa berusaha menyebarkan faham keamanan, perpaduan dan persefahaman sesama insan bagi masa depan yang lebih baik. – Malaysiapost

