SEBUAH bot nelayan asing milik warganegara Vietnam yang dikesan menceroboh perairan negara berhampiran Pulau Pemanggil, Mersing pada awal pagi semalam berjaya ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Johor.
Komander PPM Wilayah Dua, Asisten Komisioner Muhd Zailani Abdullah, berkata bot nelayan asing berkenaan dikesan di kawasan 8.3 Batu Nautika dari Pulau Pemanggil.
Menurutnya, bot nelayan asing Vietnam yang terdiri daripada seorang tekong dan tiga orang awak-awak didapati tidak mempunyai sebarang dokumen dan permit menangkap ikan yang sah.

“Bot nelayan dan empat lelaki berumur lingkungan 24 hingga 40 tahun telah ditahan bersama peralatan menangkap sotong dan hasil dalam beberapa buah tong.
“Nilai rampasan dianggarkan berjumlah lebih kurang RM1.6 juta,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, tangkapan dan rampasan kemudian dibawa ke Markas Taktikal PPM Wilayah Dua Mersing untuk tindakan lanjut.
Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Akta Perikanan 1985, Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 .
“PPM Wilayah Dua Johor menyeru masyarakat maritim untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah rentas sempadan kepada PPM W2 Johor melalui telefon 07-2372222,” katanya. – Malaysiapost

