
PASUKAN Petugas Khas Bagi Penambahbaikan Budaya Kerja Perkhidmatan Kesihatan (HWCITF) yang ditubuhkan pada Jumaat lalu, bermesyuarat buat pertama Kali secara maya semalam dan telah diberi taklimat berkenaan insiden kematian Pegawai Perkhidmatan Siswazah (PPS) Hospital Pulau Pinang.
Pengerusi HWCITF Datuk Dr Siti Hamisah Tapsir, berkata taklimat itu diberikan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang.
Menurutnya, selain insiden berkenaan pasukan petugas juga diberikan taklimat mengenai pengurusan program PPS oleh Bahagian Perkembangan Perubatan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Antara agenda utama yang dibincangkan adalah mengenai pelan tindakan kerja HWCITF yang melibatkan pihak-pihak berkenaan seperti kakitangan perkhidmatan kesihatan KKM di semua peringkat, badan-badan profesional, agensi, persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan berkaitan sektor kesihatan.
“Ini bagi mendapatkan maklumat serta input bagi membantu usaha penambahbaikan budaya kerja perkhidmatan kesihatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, HWCITF turut mengambil maklum pandangan-pandangan umum berhubung keahlian pasukan petugas khas itu dan menjelaskan bahawa proses kerja dalam menyediakan laporan syor akan mengambil kira segala aspek dan pandangan pelbagai pihak.
“Perkara ini akan dilaksanakan dengan menekankan kepentingan prinsip keterangkuman dan saksama dalam sektor kesihatan terutamanya aspek budaya kerja serta pengurusan sumber manusia kakitangan Kesihatan untuk memastikan penyampaian mutu perkhidmatan yang berkualiti, selamat dan profesional.
“HWCITF amat menghargai keprihatinan semua pihak berkaitan yang menunjukkan kesediaan untuk memberi kerjasama kepada usaha murni ini. Diharap kerjasama ini akan memberi impak tinggi kepada budaya kerja perkhidmatan kesihatan negara,” katanya. – Malaysiapost
