Tak boleh halang guru mohon pertukaran – Dr Radzi Jidin

0
1

GURU besar atau pengetua hanya dibenarkan memberi ulasan dan tidak boleh menghalang pertukaran guru.

Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, guru dibolehkan membuat permohonan pertukaran tanpa memerlukan kelulusan daripada guru besar atau pengetua.

“Sebelum ini, permohonan pertukaran juga memerlukan kelulusan guru besar atau pengetua, tetapi kini guru atau pengetua hanya dibenarkan memberi ulasan, tidak boleh menghalang pertukaran guru-guru.

“Justeru, perkara ini juga memberi peluang kepada semua guru, termasuk yang cemerlang untuk bergerak dari satu sekolah ke sekolah yang lain untuk menyumbang bakti,” katanya dipetik Berita Harian, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali Ke-51 yang bertemakan “Guru Tunjang Sekolah Sejahtera” di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Bachok hari ini.

Dr Radzi berkata, kini guru boleh memohon pertukaran sepanjang tahun susulan garis panduan baharu yang dikeluarkan kementeriannya.

Berdasarkan garis panduan baharu menggantikan garis panduan sedia ada yang dikeluarkan pada 1975, katanya, pengumuman pertukaran guru turut diubah kepada empat kali setahun berbanding dua kali sebelum ini.

Tahun lalu, Dr Radzi menjelaskan, 55 peratus daripada keseluruhan permohonan pertukaran guru diluluskan kerajaan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here