KESATUAN Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia (NUJM) melahirkan rasa kesal terhadap keputusan pihak polis yang tidak akan melanjutkan siasatan berhubung pertengkaran antara pengawal keselamatan dan seorang wartawan.
Dalam satu kenyataan hari ini, NUJM berkata gangguan terhadap wartawan adalah perkara biasa namun kerajaan menutup mata.
“Apakah semua pihak hanya berpeluk tubuh dan menunggu sesuatu yang tidak diingini berlaku kepada petugas media, sebelum tindakan tegas diambil atau undang-undang digubal bagi melindungi petugas media yang menjalankan tugas berasaskan prinsip etika kewartawanan.
“NUJM ingin mengingatkan bahawa sekiranya tiada tindakan tegas diambil terhadap mana-mana pihak yang mengancam atau melakukan keganasan fizikal dan lisan kepada petugas media, dikhuatiri perkara sama akan terus berulang,” kata kenyataan itu hari ini.
Kenyataan itu mengulas insiden pertengkaran antara seorang pengawal keselamatan di Pusat Transformasi Bandar (UTC) di Kuala Lumpur dan dua wartawan The Vibes pada 14 Mei lalu.
Pengawal keselamatan itu dalam satu video dilihat telah menjerit kepada dua wartawan itu, yang sedang menemu bual orang ramai yang beratur panjang di Jabatan Imigresen.
Pengawal keselamatan itu turut merampas telefon bimbit yang digunakan oleh salah seorang wartawan yang sedang merakam video kejadian itu.
Menurut pengawal keselamatan itu, wartawan tidak mempunyai hak untuk mempraktikkan profesionnya di premis di bawah bidang kuasanya tanpa kebenaran.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata kenyataan kedua-dua pihak telah direkodkan dan perkara itu diklasifikasikan sebagai ‘rujuk ke majistret’.
Noor Dellhan berkata dia akan mengeluarkan kenyataan dengan perincian dalam masa terdekat ini.
Sementara itu, badan pemantau media Gerakan Media Merdeka (Geramm), berkata Malaysia memerlukan undang-undang untuk melindungi wartawan dan menangani isu ‘meminta kebenaran’ untuk mempraktikkan kewartawanan.
“Tanggungjawab media adalah untuk mematuhi etika kewartawanan – mengenal pasti diri mereka dengan jelas, tanpa nama identiti sumber apabila perlu dan memberikan hak untuk menjawab sebarang dakwaan.
“Oleh itu, mengganggu dan menghalang wartawan, terutama dalam situasi yang melibatkan ancaman dan keganasan fizikal, adalah jenayah,” katanya. – Malaysiapost

