KPWKM, D11 Bukit Aman erat kerjasama

0
1

KEMENTERIAN Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mengeratkan kerjasama dengan Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman dalam pemantapan keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak serta wanita di Malaysia.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, beliau bersama Ketua Setiausaha serta disertai Timbalan Ketua Pengarah (Strategik) Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah mengadakan perbincangan dengan Bahagian D11 bagi meneruskan sesi libat urus dan kolaborasi berhubung perkara berkenaan.

Katanya, perbincangan dimulakan dengan pembentangan Modus Operandi terkini NUR Alert dan Statistik semasa berkaitan Kanak-Kanak Hilang.

Dalam pertemuan itu, Rina turut memaklumkan bahawa KPWKM telah menubuhkan Jawatankuasa Bersepadu Pengurusan Isu-Isu Sosial Kanak-Kanak di Media Sosial.

“Ia bermatlamat untuk menggembleng tenaga pakar dari Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, NGO dan individu berkepentingan supaya memastikan keselamatan kanak-kanak di media sosial terpelihara.

“Jawatankuasa ini merupakan platform untuk memantapkan usaha Kerajaan bagi membanteras jenayah seksual kanak-kanak di media sosial dengan penganjuran kempen dan program advokasi,” katanya menerusi Facebook.

Selain itu, Rina berkata, Penggubalan Dasar Kanak-kanak Negara bagi menggantikan dasar-dasar sedia ada yang berkaitan dengan kanak-kanak juga kini sedang dilaksanakan.

“Ia turut melibatkan kerjasama UNICEF, agensi-agensi kerajaan Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan aktivitis (NGI) dalam memberi input berkaitan kanak-kanak.

“Terima kasih kepada PDRM yang turut sedia bekerjasama dalam urusan Penggubalan Dasar Kanak-Kanak Negara,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, Indeks Perkembangan Kanak-kanak atau National Child Development Index (CDI) juga sedang dibangunkan untuk menilai sejauh mana tahap perkembangan hidup kanak-kanak di Malaysia bagi membantu Kerajaan untuk membentuk strategi yang lebih efektif dan program yang tepat kepada sasarannya.

“Indikator yang akan dibangunkan ini sesuai dengan umur kanak-kanak serta menangani isu yang seringkali dihadapi seperti perkahwinan bawah umur, buruh kanak-kanak serta keganasan terhadap kanak-kanak,” katanya.

Dalam pertemuan semalam, Rina berkata, beliau juga dapat mengintai peluang untuk terus memperkasakan peranan Skuad Anti Jenayah (Skuad Waja).

“Alhamdulillah PDRM telah menyatakan kesediaan mereka untuk melatih SKUAD WAJA menerusi modul dan silibus berkaitan yang membolehkan Skud Waja menjadi ‘task force’ diperingkat pusat.

“Saya yakin idea ini amat baik dalam memperksakan peranan Skuad Waja yang berperanan sebagai agen anti jenayah dalam komuniti bagi menangani isu-isu berkaitan keganasan terhadap wanita.

“PDRM juga akan memperluas kerjasama dengan KPWKM bersama Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti yang mempunyai peranan seiring dengan Skuad Waja,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here