Isham pula cabar Tun M sertai wacana terbuka

0
1
isham jalil

KETUA Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil mempelawa bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berwacana secara terbuka dengannya.

Namun, menurut Isham, pelawaan berkenaan bukan untuk berdebat atau berpolitik, tetapi lebih kepada berwacana secara terbuka untuk membincangkan isu berhubung dasar-dasar dan halatuju negara secara ilmiah dan berhemah.

“Kepada Yang Berhormat Tun (Dr) Mahathir, dengan segala hormat saya ingin menjemput Tun untuk berwacana dengan saya pada bila-bila masa yang Tun berkelapangan.

“Bukan untuk berdebat atau berpolitik, tetapi untuk berwacana secara terbuka untuk bincang berkenaan dasar-dasar dan hala tuju negara secara ilmiah dan berhemah.

“Contohnya berkenaan isu matawang ringgit yang kian lemah, soal ekonomi, isu ‘Rule of Law’, dan masa depan Malaysia dan cadangan-cadangan penyelesaiannya,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Jelas Isham, cabaran itu diketengah olehnya yang mewakili golongan muda di negara ini bagi mendapatkan penerangan secara jelas daripada terus berbeza pendapat di media sosial.

“Oleh itu daripada Tun dan saya asyik komen dan berbeza pandangan di Facebook sahaja, mungkin elok kita bersemuka dan bertukar pandangan secara terbuka.

“Wacana ini mungkin akan dapat mencabahkan pemikiran dan membantu kita dan rakyat melihat pandangan-pandangan dan penyelesaian dari perspektif generasi Tun dan juga generasi saya untuk kepentingan masa depan Malaysia. Jika Tun sudi, kami amatlah berbesar hati,” katanya.

Rabu lalu, buat julung kalinya Debat Perdana antara Datuk Seri Najib Razak dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi realiti dan disiarkan secara langsung oleh media.

Bertempat di Auditorium Tunku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), perdebatan itu berjalan lancar tanpa sebarang provokasi daripada kedua-dua penyokong.

Debat Perdana yang membincangkan isu berkaitan Sapura Energy Bhd (SEB) dan isu masa depan negara itu dihadiri kira-kira 400 orang termasuk tokoh politik, ahli korporat, pakar ekonomi, ahli akademik, mahasiswa selain penyokong kedua-dua pemimpin. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here